Seludup limau untuk jualan

Limau yang tiada permit import yang cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar ( BSI).
Limau yang tiada permit import yang cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar ( BSI).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis ) negeri Johor menyekat cubaan membawa masuk buah limau bernilai RM12,480 menggunakan sebuah kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan kira-kira jam 1 petang oleh Pegawai Penguatkuasa Maqis ke atas sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Fuso dari Singapura ke Malaysia di laluan kargo import lori BSI Johor Bahru.

"Mereka mendapati terdapat limau mandarin jenis Honey Murcott seberat 1,248 kilogram (kg) di bahagian penyimpanan belakang kenderaan itu, selain tidak mempunyai permit import yang sah dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota penguatkuasa Maqis menunjukkan limau yang tiada permit import yang cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar ( BSI).
Anggota penguatkuasa Maqis menunjukkan limau yang tiada permit import yang cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar ( BSI).

Beliau berkata, pemandu kenderaan berusia 47 tahun itu dipercayai membawa buah berkenaan untuk pasaran tempatan dan kegunaan sendiri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) Akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

"Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: