X

Kindly register in order to view this article
!

Seimbangkan usaha pulih ekonomi, kelestarian alam

Kakitangan IWK akan terus berkhidmat dan menyelenggara sistem pembetungan awam dalam apa jua keadaan dan krisis yang melanda.
A
A

TIDAK dapat dielakkan bahawa virus sekecil koronavirus (Covid-19) mampu menggegar dunia selain menjejaskan kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial manusia.

Di Malaysia, kita juga melihat banyak perniagaan yang terpaksa akur dengan tidak ketentuan itu sehingga mengambil keputusan menggulung tikar atau memberhentikan perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Dalam menangani pandemik itu, usaha di luar kotak seharusnya dilakukan bagi memastikan aktiviti ekonomi yang cuba dipulihkan tidak menjejaskan keseimbangan jangka panjang khususnya terhadap kelestarian alam sekitar dan kepentingan kesihatan awam.

Justeru, kita dapat menyaksikan banyak usaha dan pelan yang telah diperkenalkan kerajaan bagi mencapai keseimbangan itu.

Selain petugas kesihatan dan keselamatan, banyak pihak yang bersama-sama bertungkus-lumus membantu rakyat Malaysia menghadapi pasca Covid-19 yang mungkin tidak disedari ramai.

Sektor yang sering dilupakan adalah industri pembetungan kerana mungkin kebanyakan rakyat Malaysia lupa ke manakah air sisa kumbahan akan pergi selepas menggunakan tandas atau membasuh barangan keperluan di dapur.

Biarpun ‘dilupai’ dan berhadapan dengan kerja-kerja kotor, sukar dan berbahaya, sektor penting pembetungan seperti yang dijalankan syarikat pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mempamerkan komitmen tinggi dalam memastikan kira-kira 7,000 loji rawatan kumbahan milik kerajaan diselenggara dengan baik. Ia bagi memastikan kira-kira 25 juta pengguna yang bersambung di loji-loji tersebut terus mendapat perkhidmatan yang cekap.

IWK dalam kenyataannya berkata, sebagai salah satu perkhidmatan penting negara, IWK akan terus beroperasi dan menyelenggara sistem pembetungan awam serta menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan dan krisis yang melanda.

Menurut IWK, kerja-kerja syarikat pembetungan itu adalah di peringkat akhir kitaran air iaitu merawat air sisa kumbahan daripada pelbagai premis, kepada suatu tahap di mana efluen terawatnya selamat untuk dilepaskan kembali ke perairan atau sungai.

“Barisan hadapan pekerja operasi yang menguruskan loji-loji rawatan kumbahan dan stesen-stesen pam, sentiasa melakukan kerja pada tahap terbaik mereka bagi memastikan sistem pembetungan beroperasi lancar pada waktu tempoh yang sukar ini.

“Hakikatnya, loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

“Sebelum dilepaskan kembali ke perairan atau sungai, kualiti efluen terawat ini telah menjalani pelbagai proses rawatan sehingga mencapai tahap yang selamat untuk dilepaskan. Ini adalah kerana kaedah operasi IWK yang mematuhi tahap piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan kawalselia,” menurut kenyataan itu.

Loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
Loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

Loji IWK sebenarnya, menghasilkan kira-kira 5,679 juta liter sehari (MLD) efluen terawat ke dalam sistem saliran.

Menurut IWK, dengan peningkatan isu kekangan air sejak kebelakangan ini, usaha luar kotak yang dijalankan adalah mempelopori inisiatif Water Reclamation Plant (WRP) di mana IWK akan bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama operator air untuk menyalurkan air sisa terawat ini.

“Air sisa yang telah terawat itu berpotensi besar untuk menjadi sumber air kedua atau second tap kepada negara terutama sekali untuk dibekalkan kepada industri perkilangan.“IWK turut berhadapan dengan pelbagai aduan orang awam khususnya mengenai saluran paip tersumbat yang seringkali berpunca daripada tabiat pengguna sendiri.

“Sebagai contoh, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat sekitar 20,000 kejadian paip pembetungan awam tersumbat dan sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh masalah lemak, minyak dan gris yang tidak diselenggara dengan baik daripada premis restoran. Biar apapun puncanya, semua aduan dan masalah itu telah diselesaikan petugas IWK,” jelas kenyataan itu lagi.

Hakikatnya, IWK melakukan semua yang mampu untuk meredakan kebimbangan orang ramai mengenai pembersihan rawatan air sisa walaupun syarikat menghadapi kekangan kewangan dan cabaran pasca Covid-19 ini terus memberi tekanan kepada kewangan syarikat.

Kos operasi

Kata IWK, kos operasi (seperti penyelenggaraan aset yang sudah lama dan kos elektrik) dan kadar inflasi yang kian meningkat saban tahun susulan peningkatan jumlah aset yang diambil alih, benar-benar memberi kesan kepada syarikat untuk mengimbangi jurang caj bulanan yang dibayar pengguna domestik iaitu antara RM2 hingga RM8 untuk setiap isi rumah.

Jelasnya, caj tersebut tidak pernah berubah semenjak penubuhan IWK pada 26 tahun yang lalu berbanding kos operasi yang kini telah mencecah kira-kira RM18 setiap isi rumah.

Pihak syarikat telah berusaha gigih untuk mengawal peningkatan kos operasi itu supaya dapat menjaga kecekapan perkhidmatan, dan kerajaan juga menyalurkan subsidi sejumlah RM2.68 bilion dari 2001 hingga 2019.

“Namun, selama manakah IWK terpaksa menanggung ketidakseimbangan caj perkhidmatan yang dibayar pengguna dengan kos operasi sebenar? Tidak dapat dibayangkan jika loji-loji yang diselenggara IWK gagal beroperasi ekoran kos yang tidak seimbang.

“Sejajar dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, rakyat Malaysia diharap dapat bersama-sama menghayati dan menjalankan tanggungjawab sepertimana slogan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Malaysia Prihatin.

“Slogan itu membawa maksud kecaknaan seluruh rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik yang melanda dunia kini dan dalam konteks alam sekitar. Masyarakat perlu prihatin terhadap apa juga yang kita lakukan untuk tidak memudaratkan lagi bumi kita ini,” kata kenyataan itu.

Kata IWK lagi, hanya dengan membayar bil perkhidmatan, pengguna telah menjalankan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah jika pelanggan mendaftar dengan e-Bil IWK yang merupakan satu inisiatif menggalakkan pelanggan mengurangkan penggunaan kertas dan memilih membuat pembayaran secara dalam talian, mereka juga menyumbang kepada alam sekitar.

“Pengguna telah sama-sama berperanan dalam mengurangkan penebangan pokok bagi tujuan pembuatan kertas.

“Untuk makluman, pelanggan yang mendaftar untuk perkhidmatan e-Bil IWK sekarang sehingga 31 Disember 2020 berpeluang menerima baucar Tesco bernilai RM50 setiap satu. Sebanyak 100 baucar Tesco akan diberikan setiap bulan kepada pelanggan bertuah.

“Selain itu, IWK menyediakan pelbagai kaedah pembayaran di kaunter atau dalam talian. Banyak kaedah telah disediakan dan pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih IWK bagi memudahkan urusan pembayaran dan lain-lain urusan,” katanya.

Untuk semua perkhidmatan yang disediakan, kunjungi laman web IWK di iwk.com.my.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!