X

Kindly register in order to view this article
!

Penentu di pentas demokrasi

A
A

MENELITI penamaan calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menyaksikan terlalu ramai calon dalam satu Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga melibatkan pertandingan 11 penjuru. Terdapat 26 DUN yang bertanding enam penjuru dan hanya tiga DUN sahaja yang bertanding tiga penjuru.

Kenapa begitu ramai yang bertanding untuk merebut satu kerusi? Adakah ini normal baharu dalam pilihan raya? Perkara ini agak unik dan menarik serta menunjukkan bahawa siapa pun berhak untuk muncul sebagai bakal Yang Berhormat.

Apa pun bagi menentukan pemilihan dalam mana-mana pilihan raya terletak di tangan pengundi. Pengundi ibarat ‘raja’ bagi menentukan pembentukan kerajaan yang selama ini dipandang sepi. Dengan pangkahan di kertas undi, semua nya akan mengubah senario politik Sabah.

Sebenarnya pengundi telah menyaksikan drama pemimpin yang telah dipilih baik di peringkat DUN mahupun Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu. Ketidakstabilan politik di negara ini disebabkan ‘acara melompat parti’ sehingga mengheret perubahan kerajaan. Di Sabah, perkara sama berlaku menyebabkan DUN dibubarkan.

Kuasa yang ada pada pengundi merupakan magik yang tidak ternilai dalam pentas demokrasi. Namun sejauh mana pengundi mempercayai calon-calon yang bertanding tidak akan lompat parti setelah memenangi pilihan raya nanti.

Beberapa pengundi yang dihubungi menyatakan mereka kecewa dengan gelagat pemimpin yang melompat parti sesuka hati. Ini kerana pengundi memilih seseorang calon berdasarkan kriteria yang dirasakan dapat membantu dan membela nasib rakyat.

Namun apabila pemimpin itu diberikan mandat, mereka beralih arah tanpa mendapat keizinan pengundi.

Keputusan yang akan ditentukan oleh pengundi di Sabah nanti dianggap manifestasi dan harapan rakyat. Rasional atau emosi pengundi diterjemahkan di atas kertas undi untuk membuktikan kuasa rakyat mengatasi kuasa pemimpin dan parti politik.

Rakyat tahu apa yang diingini dan rakyat berhak menentukan masa depan negara ini.

Walau apa agenda dan manifesto yang dirangka oleh mana-mana parti politik bukan lagi menjadi keutamaan dan kriteria pemilihan masa kini. Isyarat yang diberikan pengundi adalah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah.

Kuasa rakyat Sabah ibarat bom jangka atau api dalam sekam yang meledak pada masa yang tepat dan sesuai. Pengundi bukan lagi alat yang digunakan oleh mana-mana parti politik untuk mendapatkan sokongan semata-mata.

MuktamadBeberapa ramalan dan hasil kajian akademik sebelum ini juga jauh meleset. Apa sebenarnya yang berlaku? Walaupun data-data awal menunjukkan kemungkinan seseorang calon boleh memenangi pilihan raya, namun pada saat-saat akhir, beberapa faktor telah mengubah sokongan. Semuanya ditentukan oleh tangan pengundi.

Gelombang tsunami rakyat ini melanda tanpa diduga. Jangkaan di atas kertas tidak melambangkan realiti sebenar. Kebenaran ada di tangan pengundi yang telah menjadi hakim muktamad dalam pentas demokrasi.

Faktor pengundi muda dan belia bawah usia 35 tahun mungkin juga menjadi ledakan perubahan ini. Malah, penggunaan media sosial mempengaruhi mereka mengenai isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari.

Pengundi masa kini telah menunjukkan kematangannya dan terdedah dengan pelbagai sumber. Sumber maklumat bukan lagi merujuk pemimpin setempat. Pengundi muda menjadikan media sosial sebagai pentas demokrasi yang rencam sifatnya.

Media sosial kini digunakan sepenuhnya bagi menyampaikan mesej dan menjadi media kempen yang berlainan dengan media arus perdana. Dengan pendekatan kempen normal baharu, media sosial dianggap sebagai media mega yang menghidangkan pelbagai maklumat politik kepada pengundi.

Semuanya banyak pengajaran dan iktibar buat pendokong demokrasi. Kita tidak sabar-sabar untuk menanti perubahan dan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh kerajaan yang akan dibentuk kelak.

Apa pun, kita perlu berlapang dada berhadapan dengan PRN Sabah ini. Diharap dengan kemelut politik dapat ditentukan dengan mandat baharu oleh rakyat.

**Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!