X

Kindly register in order to view this article
!

Syaidatul Afifah tiada niat kembali

Syaidatul Afifah
A
A

BEKAS ratu tenpin boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tidak berhasrat untuk memperkuatkan kembali skuad kebangsaan.

Menurut Syaidatul Afifah, dia tetap dengan keputusannya untuk bersara sekalipun banyak pihak termasuk peminat sukan tanah air mengharapkan atlet berusia 29 tahun itu membuat ‘pusingan U’.

“Keputusan untuk bersara ini adalah keputusan saya sendiri. Saya telah memikirkannya secara mendalam dan saya nekad untuk meneruskan persaraan ini.

“Pada mulanya, ayah saya antara individu yang sukar menerima keputusan saya untuk bersara tetapi akhirnya beliau bersetuju. Saya anggap ia keputusan terbaik buat masa ini.

“Sepanjang krisis pandemik Covid-19 ini juga tidak ada sebarang kejohanan dianjurkan. Jadi daripada ‘duduk’ saja, lebih baik saya mencuba sesuatu yang baharu,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Awal bulan ini, Syaidatul Afifah yang telah mengerah keringat bersama skuad kebangsaan selama 11 tahun mengejutkan arena sukan tanah air apabila membuat keputusan untuk bersara.

Mengulas mengenai perancangannya selepas bersara, Syaidatul Afifah berkata, dia sudah mula memikirkan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan selain merancang menubuhkan akademi boling miliknya sendiri suatu hari nanti.

“Saya memang sudah berjumpa dengan pihak yang berkenaan mengenai penubuhan akademi tersebut. Namun, saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lima atau enam tahun lagi untuk menubuhkan akademi berkenaan.

“Saya juga berminat untuk menceburi bidang perniagaan kerana kini saya mempunyai masa yang fleksibel. Saya sudah boleh memberikan komitmen 100 peratus dalam apa saja bidang yang saya ceburi nanti,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!