X

Kindly register in order to view this article
!

Pas hanya beri liabiliti kepada PN, MN, kata Amanah

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A

KUALA TERENGGANU - Kenyataan dan isu kontroversi yang membelenggu Pas hanya menjadikan parti itu sebagai liabiliti kepada kerjasama mereka dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pemimpin Pas dilihat tidak cermat mengeluarkan kenyataan sehingga ada yang mengguris perasaan bangsa dan agama lain.

Disebabkan faktor itu juga katanya, Pas tidak diberikan ‘tempat’ dan ruang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Apa yang berlaku di PRN Sabah ini memberikan gambaran yang lebih jelas dan saya rasa situasi sama akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga kerana isu kontroversi kerajaan PN terlalu banyak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di sini, hari ini.

“Ahli Parlimen Pasir Puteh dari Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh misalnya, meremehkan dan merendah-rendahkan agama lain secara terbuka, dan ia merupakan satu luka mendalam kepada bangsa lain. Itu bukan caranya menangani isu rakyat di bawah pemerintahannya.

“Jadi kerajaan PN sedar ia (kenyataan Zawawi) kesilapan yang besar, kerana itulah Pas tidak diberi kepercayaan untuk bertanding di Sabah. Ini satu kejutan, sedangkan Amanah (Parti Amanah Negara) sebuah parti yang kecil tetap diberikan kerusi untuk bertanding kerana kita tidak dilihat sebagai risiko,” katanya

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu berkata, kenyataan terbaharu Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat yang mencadangkan kerajaan mewujudkan penasihat syariah bagi setiap peringkat dan agensi kerajaan dan pihaknya sedia berkongsi ilmu dengan menyediakan pakar yang terdiri daripada ahli Pas adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Jelasnya, Pas hanya ingin memegang kuasa sahaja tetapi mereka tidak tahu cara mengendalikan kuasa itu secara bijaksana.

“Saya rasa, tidak payah (penasihat daripada Pas) kerana banyak perkara yang sudah mereka rosakkan. Pas tiada kepakaran untuk memberikan nasihat. Kalau nasihat pemimpin mereka sendiri sudah boleh porak-peranda negara, bayangkan jika orang biasa duduk di situ.

“Itu belum termasuk kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak menjalani kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. Perkara-perkara sebegini menunjukkan Pas liabiliti kepada PN dan MN,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Pas hanya digunakan apabila diperlukan, seperti di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

“Di tempat lain, Pas hanya diletakkan ke tepi. Saya rasa ini akan menjadi trend, sama ada PRN atau PRU15. Pas hanya akan digunakan secara selektif dan bukannya menyeluruh. Diperalatkan hanya apabila diperlukan.

“Pas bukannya menjadi rakan yang tetap. Muafakat apa macam tu? Muafakat mesti ada pemerintahan bersama dan bekerjasama,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!