PKR pecat ahli bertanding sebagai calon Bebas

Ag Duramin Tafa yang juga Ketua Cabang PKR Membakut bertanding atas tiket bebas.
Ag Duramin Tafa yang juga Ketua Cabang PKR Membakut bertanding atas tiket bebas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai calon Bebas akan dipecat daripada parti itu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew hari ini.

"Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan parti akan memecat ahli yang didapati bertanding atas tiket calon Bebas.

"Surat pemecatan itu akan dikeluarkan hari ini melalui Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara ahli PKR yang didapati bertanding atas tiket bebas adalah Ag Duramin Tafa yang juga sebagai Ketua Cabang PKR Membakut sebelum ini.

Beliau didapati bertanding di DUN Membakut dengan menggunakan lambang ikan.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung tindakan Simsudin Sidek yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan PKR Sabah, Christina enggan memberi sebarang ulasan setakat ini.

Simsudin sebelum ini mengumumkan bahawa PKR akan bertanding 14 kerusi di dalam PRN Sabah bagaimanapun Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya memperuntukkan tujuh kerusi kepada PKR.

Artikel Berkaitan:

Simsudin kemudian memilih untuk meletakkan jawatan selepas gesaannya itu tidak menjadi kenyataan.