Sindiket tumpas, dadah bernilai RM1.58 juta dirampas

Ayob menunjukkan bungkusan dan barang-barang yang dirampas dalam enam serbuan sehingga tumpasnya sindiket pengedaran dadah, di pekarangan IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayob menunjukkan bungkusan dan barang-barang yang dirampas dalam enam serbuan sehingga tumpasnya sindiket pengedaran dadah, di pekarangan IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dikenali sebagai Rose Quartz dan merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.58 juta Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut dirampas dalam enam serbuan di sekitar bandar raya itu ialah 39.33 kilogram syabu, 74.98 gram (g) ketamin serta 20.92g serbuk ekstasi dan menahan enam lelaki tempatan berusia 39 hingga 57 tahun.

"Dalam operasi itu, polis menyita tujuh kenderaan bernilai RM982,800, dua jam tangan berjenama bernilai RM2,000, wang tunai RM172,051 dan 13,000 baht (RM1,726.07) dengan jumlah keseluruhan RM1.1 juta.

"Selain itu kita merampas mesin yang digunakan untuk pembungkusan dadah serta beberapa peralatan lain termasuk sepucuk pistol angin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu mendapat bekalan dadah dari utara semenanjung dan modus operandi kumpulan berkenaan ialah menggunakan laluan udara dan laut bagi menyeludup serta mengedar dari negeri ini ke Sarawak dan pasaran antarabangsa.

Tambahnya, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis metamphetamin dan ketamin dan semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Menurutnya, semua suspek direman bermula semalam hingga 16 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Operasi khas itu dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, bermula 1 Januari hingga 10 September lalu, JSJN Johor menahan 13,856 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam tempoh yang sama sebanyak 2.146 tan dadah dirampas bernilai RM25.43 juta. Nilai harta yang disita pula ialah RM11.33 juta," katanya.