‘Batman rela ditembak demi saya'

Kenny (tiga dari kanan) ketika berkunjung ke Muzium Polis PDRM di Kuala Lumpur.
Kenny (tiga dari kanan) ketika berkunjung ke Muzium Polis PDRM di Kuala Lumpur.
A
A
A

MELIHAT rakan sepasukan gugur di medan perang bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan.

Biarpun sudah 42 tahun berlalu, kenangan diserang hendap oleh pengganas komunis dalam Op Tapah, tidak pernah terpadam daripada benak fikiran bekas pegawai unit F Team PDRM, Deputi Superintendan (B) Kamarudin Hashim.

Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Kenny, 71, berkata, beliau melihat rakan sepasukannya terbunuh dalam serangan di kawasan hutan sekitar Tapah, Perak.

“Dalam Op Tapah telah berlaku peristiwa menyedihkan kerana itulah pertama kali F Team kehilangan ahlinya ketika menjalankan operasi,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, individu yang terkorban itu dikenali sebagai Ah Hon atau lebih mesra dengan panggilan Batman dalam kalangan ‘F Team.

Mendiang yang ketika itu baru berusia 27 tahun merupakan bekas anggota komunis yang telah diambil berkhidmat untuk bersama pasukannya.

Menceritakan tentang akrabnya bekas anggota komunis itu dengan pasukannya, Kenny berkata, Batman dianggap seperti saudara kerana beliau bersungguh mahu membantu kami menghapuskan komunis.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan saya dengan Batman sangat akrab ibarat adik-beradik. Dia juga dianggap sebagai rakan sekerja yang baik,” katanya.

Katanya, sehari sebelum Op Tapah, beliau dan Batman bersama beberapa anggota Cawangan Khas Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk memberkas tali barut komunis di ibu negara pada 1 Oktober 1978.

“Operasi berkenaan berjalan lancar dan kami berjaya memberkas seorang tali barut komunis. Saya masih ingat lelaki itu (tali barut komunis) berbadan kecil berhenti di hadapan Batman, kemudian mereka berbual.

“Saya pula ditugaskan berada berhampiran panggung wayang dan diarah berjalan segera ke arah Batman selepas mendapat isyarat lelaki itu perlu diberkas,” katanya.

Kenny berkata, beliau sepantas kilat menghampiri lelaki itu dari belakang dan segera menggarinya.

“Selepas itu Batman memberi isyarat kepada anggota Cawangan Khas Kuala Lumpur untuk segera membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk disoal siasat,” katanya.

Kejayaan F Team terpapar di dada akhbar.
Kejayaan F Team terpapar di dada akhbar.

Kelab malam

Kenny berkata, selepas operasi itu ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan F Team, Batman menyuarakan hasrat untuk pergi ke kelab malam.

“Permintaan itu bagi kami agak pelik kerana dia tidak pernah ke kelab malam.

“Kami tidak mahu mengecewakannya, jadi saya bawa Batman ke salah satu kelab malam di ibu negara. Rupa-rupanya itulah permintaan terakhirnya.

“Saya masih ingat tidak sampai setengah jam berada dalam kelab itu, seorang anggota polis masuk memaklumkan kepada saya dan Batman perlu ke Bukit Aman segera,” katanya.

Menurutnya, anggota polis itu juga memaklumkan kepadanya bahawa tali barut yang ditangkap telah mendedahkan maklumat kepada Cawangan Khas.

Katanya, tali barut itu mengaku menghantar bekalan makanan kepada Unit Penggempur Ke-5 di hutan Tapah, Perak pada 3 Oktober 1978.

“Saya bersama Batman serta tiga pegawai F Team ditugaskan untuk melaksanakan Op Tapah dan kami turut membawa tali barut komunis itu ke hutan Tapah.

"Sepanjang perjalanan ke Tapah, dia (Batman) tidak banyak bercakap dan ceria seperti biasa. Dia (Batman) mungkin sedang memikirkan mengenai operasi yang sangat penting dan bahaya,” kenang Kenny.

Kenny berkata, setibanya di pinggir hutan di Tapah, kami ditugaskan mencari petanda yang ditinggalkan oleh anggota komunis iaitu kotak rokok yang diisi batu kecil.

“Saya memeriksa kawasan itu untuk mencari petanda jam 6 pagi, namun gagal. Kami memeriksa sekali lagi tempat itu. Selepas empat jam, satu kotak rokok dan tiga biji batu akhirnya ditemui.

"Kotak rokok berisi tiga biji batu itu adalah isyarat bahawa anggota komunis telah menunggu di dalam hutan untuk mengambil bekalan makanan yang dipesan.

“Kami memandu van Volkswagen Kombi kelabu dengan bahagian belakang tertutup tanpa tingkap masuk ke hutan Tapah. Batman duduk di sebelah kiri kerusi penumpang hadapan manakala lelaki tali barut komunis itu duduk di bahagian tengah,” katanya.

Kenny terlibat dalam beberapa operasi melibatkan F Team.
Kenny terlibat dalam beberapa operasi melibatkan F Team.

Menyamar hantar makanan

Beliau berkata, tiga pegawai F Team pula duduk di belakang van dan bersedia dengan senjata masing-masing.

“Perjalanan kami dengan menaiki van itu melalui trek balak sejauh 10 kilometer ke dalam hutan,” katanya.

Kenny berkata, beliau turun daripada kenderaan itu apabila tiba kira-kira dua kilometer untuk sampai ke lokasi biasa tali baru itu menghantar makanan dan barang keperluan lain kepada gerombolan komunis.

“Saya turun dan duduk di belakang van sementara tali barut itu yang sebelah tangannya digari pada stereng diarah memandu kenderaan itu.

“Batman yang duduk di sebelah pemandu itu pula menyamar sebagai pembantu kepada lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, F Team diarah untuk menangkap atau menawan hidup-hidup pengganas komunis pertama yang membuka pintu van dan segera melarikan kenderaan tersebut keluar dari kawasan itu.

“Objektifnya ialah agar tawanan itu nanti dapat memberi maklumat tentang kedudukan kumpulan komunis di kawasan hutan itu,” katanya.

F Team diserang komunis

Setibanya di kawasan yang dinyatakan, Batman nampak kelibat beberapa anggota pengganas yang berselindung di tebing bukit sebelah kiri van.

“Salah seorang anggota komunis keluar dari celah hutan dan mengarahkan van kami berhenti,” katanya.

Kenny berkata, Batman turun dari van untuk bertemu dengan anggota komunis itu,

“Tiba-tiba terdengar dua das tembakan. Saya terus menendang pintu sisi van, anggota komunis itu melepaskan tembakan setelah ternampak saya,” katanya.

Beliau berkata, Batman menghalang tembakan itu dan terkena badannya.

“Saya nampak beberapa butir peluru menembusi badannya demi menyelamatkan saya,” katanya.

Beliau berkata, pengganas yang menembak Batman itu ialah ketua komunis yang dikenali sebagai Monty dari Unit Penggempur ke-5 yang beroperasi di Perak.

“Saya melepaskan tembakan ke arah Monty dan terkena di leher serta lengan tangan kanannya yang menyebabkan senjatanya terlepas daripada genggamannya. Dia tidak mati, tetapi pengsan selepas terkena tembakan itu,” katanya.

Kenny berkata, beliau berjaya menembak mati seorang pengganas komunis wanita yang merupakan isteri Monty.

“Selain itu, saya juga dapat mencederakan seorang lagi anggota komunis, namun dia sempat melarikan diri dengan bantuan rakan komunis yang lain,” katanya.

“Saya bertempur bersendirian hampir setengah jam melawan kira-kira tujuh atau lapan pengganas komunis.

“Pada ketika itu, rakan-rakan yang lain tidak dapat keluar membantu kerana van yang dinaiki itu dihujani peluru komunis dari arah atas bukit,” katanya.

Beliau berkata, komunis yang menyerang akhirnya berundur mungkin disebabkan mereka kehabisan peluru dan juga terpaksa membawa lari rakan mereka yang cedera.

Jaga bayi lapan bulan

Kenny berkata, beliau berlari ke arah Batman yang terbaring dan memangku kepala rakannya yang sudah nazak.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat berpesan supaya saya menjaga anak lelakinya yang berusia lapan bulan,” katanya.

Kenny berkata, beliau kemudiannya membantu pasukan polis menguruskan mayat Batman.

“Semasa menyaksikan upacara pengebumian mayat Batman, sekali lagi air mata saya menitis,” katanya.

Kenny berkata, beliau bersyukur kerana berjaya membunuh seorang komunis dan mencederakan dua lagi pengganas komunis.

“Kami berjaya menawan seorang komunis yang cedera iaitu ketua mereka sendiri, Monty.

“Kejayaan menawan Monty akhirnya telah membawa kepada kejayaan Cawangan Khas menawan seluruh anggota unit Penggempur ke-5 Parti Komunis Malaya dalam Ops Catfish,” katanya.

Kenny dalam Op Kelong di hutan Telemong, Bentong Pahang pada April 1977.
Kenny dalam Op Kelong di hutan Telemong, Bentong Pahang pada April 1977.

Kisah komunis penghantar surat di Hutan Telemong

Mengimbau kembali detik awal perkenalannya dengan mendiang Batman pada April 1977, Kenny berkata, beliau telah diarah untuk menangkap tukang penghantar surat di satu lokasi yang dipanggil ‘peti surat mati’. Surat itu perlu diserahkan kepada ketua kem pengganas itu di dalam Hutan Telemong, Karak, Pahang.

Kenny berkata, hasil maklumat yang diterima, beliau bersama tiga anggota F Team bersedia di lokasi itu.

“Surat itu disembunyikan di bawah sebatang pokok.

“Kami bermalam di lokasi tersebut sehingga menunggu individu berkenaan muncul untuk mengambil surat itu pada keesokan hari,” katanya.

Menurutnya, kawasan tersebut agak lapang sehingga menyukarkan pasukannya untuk menyembunyikan diri.

“Saya membuat keputusan memanjat pokok berkenaan secara bersendirian, kemudian datang dua komunis ke lokasi.

“Sebaik sahaja salah seorang anggota komunis mengambil surat berkenaan, saya segera terjun untuk menangkapnya,” katanya.

Kenny berkata, berlaku pergelutan sebelum beliau berjaya mengikat dan menutup mulutnya dengan lelaki itu dengan pita pelekat.

“Tiga lagi rakan saya telah menangkap seorang lagi komunis yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian,” katanya.

Kenny berkata, dua anggota komunis dibawa keluar dari hutan itu untuk tindakan lanjut.

“Saya merawat luka individu yang cedera akibat pergelutan itu yang kemudiannya menjadi sahabat saya. Dia ialah Batman.

“Saya pujuk Batman untuk bagi maklumat mengenai kem komunis di dalam hutan Telemong dan dia bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Kenny berkata, hasil kerjasama itu, seramai 22 anggota termasuk F Team, pasukan 69 komando dan tentera telah meredah hutan untuk pergi ke kem komunis berkenaan.

“Setibanya di lokasi itu Batman telah masuk ke kem untuk memujuk pasukan komunis menyerah diri,” kata beliau.

Kenny berkata, Batman berjaya memujuk 14 anggota komunis untuk menyerah diri.

“Hasil kejayaan itu, pasukan tentera mencari kawasan landing point untuk helikopter membawa kesemua anggota komunis serta senjata mereka keluar dari hutan ke Lapangan Terbang Sungai Besi,” kata Kenny.

Kenny memaklumkan sepanjang 23 tahun beliau berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah memusnahkan bom atau jerangkap samar komunis.

“Saya berjaya memusnahkan dua bom di Jalan Ipoh dan satu bom di sekitar Parlimen dan Jalan Segambut pada tahun 1975.

“Pada ketika itu, banyak bendera komunis dipasang bersama dengan jerangkap samar di beberapa kawasan di ibu negara,” katanya.

Kamarudin atau Kenny
Kamarudin atau Kenny

Biodata

Nama: Deputy Superintenden Kamarudin Hashim

Tarikh Lahir: 9 September 1949

Mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia: 16 Jun 1969

Bersara (awal): 1 Oktober 1992

Pernah berkhidmat dalam

Jabatan Siasatan Jenayah sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah - 1969 dan 1975, 1976

Pasukan Polis Hutan Battalion ke 9, Pasukan Polis Hutan (PPH) di Kem Bakri, Muar - 1970 - 1975

Dalam Cawangan Khas (F Team) - 1976 - 1990

Bahagian Koordinasi Intelligent: 1990 - 1992

Antara Pingat yang telah dianugerahkan kepada beliau semasa berhidmat dalam PDRM adalah. SAP, AMP, AMN, PKH dan PGP