Sebanyak 300kg bantuan rakyat Malaysia ke Palu

Nur Hazwani menjalani aktiviti bersama kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa baru-baru ini.
Nur Hazwani menjalani aktiviti bersama kanak-kanak yang menjadi mangsa gempa baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 300 kilogram barang bantuan selamat mendarat ke Palu dalam usaha misi kemanusian disertai daripada pasukan Sukarelawan Tunas Warisan Pahang.

Ketua Misi Kemanusiaan Palu 2.0, Nur Hazwani Mohd Hanafiah, 31, berkata, jumlah bantuan dianggarkan berjumlah RM40,000 adalah sumbangan daripada kerajaan negeri, badan korporat serta individu.

Menurutnya, kesemua bantuan terbabit telah diserahkan kepada 11 sukarelawan yang berlepas pada Khamis lalu.

“Ini kali ketiga usaha murni mengumpulkan dana dan membantu mangsa gempa bumi di Palu dan Lombok."

“Misi pada kali ini memberi fokus kepada kanak-kanak, wanita dan bayi, dan menitik berat kepada aspek pendidikan, sosial, kesihatan masyarakat Donggala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.
Sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.

Antara barang sumbangan yang dikumpul ialah telekung solat, barang keperluan dapur, mainan, alat tulis, al-Quran, Yasin, ubat-ubatan dan pakaian.

Selain agihan sumbangan disalurkan kepada penduduk Desa Tanjung Padang, perkampungan Desa Tompe, Desa Tondo, Desa Lende, Desa Lompi dan Desa Balentuma turut menerima bantuan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pelbagai aktiviti dirangka bagi merealisasikan misi kali ini, antaranya sesi pemeriksaan kesihatan percuma, permainan kanak-kanak, konsep dapur rakyat dan penyembuhan trauma.

Dalam pada itu, Nur Hazwani berkata, sebanyak 85 keluarga di sekitar Palu mendapat manfaat daripada program kemanusiaan daripada sukarelawan yang mewakili Malaysia pada kali ini.

“Delegasi sukarelawan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bergabung tenaga bagi memberi khidmat kepada semua mangsa selama lima hari bermula 24 Januari hingga hari ini,” katanya.