X

Kindly register in order to view this article
!

Kes 1MDB: Wang RM100,000 belum diberi kepada Kasitah Gaddam

A
A

KUALA LUMPUR - Wang RM100,000 milik bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum diserahkan kepadanya.

Ini berikutan pihak pendakwaan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi melucut hak wang itu daripada Kasitah sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sepatutnya harta itu diserahkan kembali kepada responden (Kasitah) tetapi pihaknya memfailkan permohonan penangguhan dan juga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Selagi rayuan tidak didengar di Mahkamah Rayuan, harta tersebut dipegang oleh pendakwaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 17 September untuk pengurusan kes bagi rayuan itu.

Muhammad Asraf juga berkata, pihaknya memfailkan notis usul penangguhan tersebut pada 17 Ogos lepas.

"Pihak peguam perlu menjawab kepada notis usul itu pada 15 September manakala pihak pendakwaan membalas pada 29 September," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maryam Jamielah Ab Manaff di sini.

Sementara itu, peguam, Sasila Basri yang mewakili Kasitah berkata, pihak pendakwaan menyerahkan notis usul itu pada 28 Ogos lepas dan tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 16 Oktober di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang sama.

Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan SPRM selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan wang yang disita daripada akaun Kasitah di Bank CIMB Berhad adalah hasil daripada aktiviti haram.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, bahasa dalam Seksyen 56(2)(a)(iii) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah jelas berkaitan dengan permohonan tersebut iaitu wang yang boleh dilucutkan mestilah wang hasil daripada aktiviti haram.

“Pemohon hanya menunjukkan resit RM100,000 dalam akaun responden (Kasitah) tetapi gagal mengambil langkah paling penting untuk menunjukkan bahawa wang yang berasal daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil daripada aktiviti yang tidak sah,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, mahkamah sehubungan itu menolak permohonan pendakwaan selepas mendapati melalui imbangan kebarangkalian bahawa pemohon tidak berjaya membuktikan mengikut Seksyen 56 AMLATFPUAA bagi mendapatkan perintah supaya wang dalam akaun itu dilucut hak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!