PUNB tubuh jabatan baharu fokus perniagaan digital

Noh ketika program ‘Teh Tarik Session’ bersama Rakan Usahawan PUNB Kota Kinabalu.
Noh ketika program ‘Teh Tarik Session’ bersama Rakan Usahawan PUNB Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menubuhkan jabatan khas yang menguruskan perniagaan digital sebagai langkah untuk lebih fokus kepada perniagaan atas talian.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah tersebut diambil bagi membolehkan PUNB lebih fokus membantu rakan usahawan meningkatkan pembabitan mereka dalam perniagaan atas talian.

Menurutnya, tahun ini PUNB akan lebih fokus kepada bidang digital kerana ia perniagaan baharu yang menarik minat terutamanya golongan usahawan muda.

“Rakan Usahawan PUNB dan Usahawan Bumiputera yang mahu menyertai perniagaan digital atau meningkatkan pembabitan dalam bidang ini boleh menghubungi PUNB untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Biarpun ketika ini PUNB mempunyai fokus baharu, kami masih menawarkan pembiayaan kepada usahawan dalam bidang peruncitan, pengedaran dan perdagangan,” katanya ketika Sidang Media selepas merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al-Baghdadi Kingfisher di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB En Izwan Zainuddin.

Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al-Baghdadi Kingfisher adalah milik usahawan wanita PUNB, Farah Fadilah Abdullah @Nora, 46.

Beliau menerima pembiayaan pertama PUNB pada 2016 sebanyak RM200,000 untuk membuka sebuah pusat jagaan dan asuhan kanak-kanak iaitu Taska Kasih Fitri.

Artikel Berkaitan:

Farah Fadilah yang melihat potensi dalam bidang pendidikan, kemudian memohon pembiayaan tambahan PUNB sebanyak RM100,000 pada 2018 untuk membuka Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi Kingfisher.

Dalam perkembangan berasingan, Noh berkata, sejak PUNB ditubuhkan sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak RM70.95 juta kelulusan pembiayaan perniagaan sudah diberikan kepada 451 usahawan daripada 345 syarikat di seluruh Sabah.

Katanya, pada tahun ini setakat 31 Ogos 2020, sebanyak RM1.15 juta kelulusan pembiayaan sudah diberikan kepada 5 usahawan daripada 3 syarikat di Sabah.

“Pada tahun ini, jumlah kelulusan setakat bulan Ogos agak perlahan berikutan pandemik Covid-19. Namun, proses permohonan pembiayaan berjalan seperti biasa dan ketika ini ada beberapa permohonan sedang diproses,” katanya.

Noh bersama Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin melakukan lawatan kerja sehari di Sabah dengan melawat ke premis perniagaan usahawan PUNB dan mengadakan sesi dialog ‘Teh Tarik Session’ bersama kira-kira 30 usahawan PUNB di sekitar Kota Kinabalu.