X

Kindly register in order to view this article
!

Tangguh semua aktiviti keagamaan di masjid, surau di Kota Setar

Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau di daerah Kota Setar bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran ditangguh berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, arahan penangguhan berkenaan melibatkan semua surau dan 97 masjid di daerah ini termasuk Masjid Zahir.

Mohd Yusri berkata, semua masjid dan surau diarahkan ditutup sementara sebagai pelengkap sidang akhbar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri hari ini dan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Isu Covid-19 dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam.

"Arahan penangguhan aktiviti keagamaan melibatkan semua masjid dan surau yang terdapat di 28 mukim di daerah Kota Setar dalam kawasan PKPD Pentadbiran tersebut.

"Penetapan terbabit dibuat Pejabat Agama Daerah Kota Setar atas nasihat dan pandangan daripada JKKN Khas Isu Covid-19," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yusri berkata, solat Jumaat di masjid di kawasan berkenaan juga ditangguhkan dan digantikan dengan solat fardu Zohor.

"Untuk solat fardu berjemaah, hanya tiga ahli jawatankuasa iaitu imam, pegawai masjid dan jawatankuasa kariah dibenarkan secara bergilir-gilir untuk setiap waktu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Menurutnya, solat jenazah di masjid dan surau terlibat tidak dibenarkan dengan pengurusan jenazah dilaksanakan di rumah dan melibatkan pegawai masjid serta ahli keluarga terdekat sahaja.

"Aktiviti keagamaan seperti kuliah, majlis ilmu, kelas pengajian, majlis bacaan Yasin mahupun majlis akad nikah tidak dibenarkan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mana-mana masjid yang terdapat jemaahnya positif Covid-19 hendaklah disanitasi secara keseluruhan dan operasi masjid ditutup sepenuhnya dengan hanya dibuka semula 14 hari.

"Itupun selepas proses sanitasi dilakukan dan tertakluk kepada nasihat dan pandangan JKKN Khas Isu Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!