'Jangan campur tahanan lama dan baharu'

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegur pihak berkaitan agar tidak mencampurkan tahanan lama dan baharu dalam satu sel lokap atau penjara.

Menurutnya, pengasingan tahanan itu perlu dilakukan sehingga tempoh 14 hari meskipun ujian saringan Covid-19 adalah negatif.

"Jangan campur tahanan lama dan baharu kerana tempoh inkubasi bagi virus ini adalah 14 hari," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di Lahad Datu sehingga mencetuskan Kluster Benteng LD.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti dua kes indeks bagi kluster berkenaan.

"Kes indeks merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masing-masing dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau," katanya.

Kluster Benteng LD dikesan KKM pada 1 September lalu.

Dalam tempoh 10 hari, ia telah merekodkan 170 individu termasuk pegawai penjara dan ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, seramai 3,449 individu telah disaring dan 1,491 masih menunggu keputusan.

Sebelum ini, KKM telah mengenal pasti ruang sempit dan sesak menjadi punca wabak berkenaan menjangkiti ramai individu.