X

Kindly register in order to view this article
!

Terengganu bina kilang proses pasir silika

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penubuhan Syarikat Permint Granite CKY Sdn Bhd di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi anak syarikat syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu Permint Granite Sdn Bhd (PGSB) dengan usahasama Permint Granite CKY Sdn Bhd menubuhkan kilang memproses pasir silika di Bukit Senyamuk, Dungun bagi membolehkan bahan itu diproses sebagai mineral industri sebelum dieksport.

Pengerusi PGSB, Che Ghani Ambak berkata, penubuhan kilang yang dijangka akan beroperasi 7 Januari 2021 itu mampu menghasilkan satu juta metrik tan pasir silika yang siap diproses mengikut gred dalam tempoh setahun dan dieksport ke luar negara seperti China, Taiwan dan Korea.

“Setakat ini pembinaan kilang untuk memproses pasir silika yang menelan kos antara RM10 juta hingga RM50 juta ini telah 75 peratus siap. Kita jangka ia akan dapat digunakan akhir Disember ini atau awal Januari tahun depan.

“Selain menambah baik produktiviti pasir silika untuk dipasarkan dalam dan luar negara, pembinaan kilang ini juga dapat membuka antara 50 hingga 100 peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Penubuhan Permint Granite CKY Sdn Bhd di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah PGSB, Halim Yusof, manakala Syarikat CKY Sand diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Chong Kin Yong dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datin Lau Beng Teng.

Sementara itu, Che Ghani berkata, pembinaan kilang pemprosesan pasir silika sebagai langkah awal bagi syarikat untuk terus membangunkan industri berasaskan pasir silika seterusnya menghasilkan produk hiliran.

“Dengan adanya kilang ini, Terengganu telah bersedia untuk industri silika berkembang di peringkat ‘downstream’ (hiliran) di mana pemain industri dalam silika akan dapat keluarkan produk hiliran memandangkan kita telah mempunyai kilang pemprosesan di sini.

“Sebagai permulaan, pasir silika yang dihasilkan adalah untuk pembuatan gelas solar dan gelas seni bina. Kita juga menyasarkan untuk menghasilkan pasir silika bagi pembuatan gelas elektronik supaya hasil yang dikeluarkan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata, PGSB telah diberi kepercayaan oleh PMINT untuk mengeluarkan pasir silika di kawasan seluas 68 hektar dan telah mengeluarkan sebanyak 707,872.94 tan metrik dengan pendapatan bersih RM22.65 juta dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, hasil pendapatan itu, PGSB telah membayar sebanyak RM11.3 juta kepada PMINT selain RM1.166 juta bagi royalti dan caj lain kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu.

“Hasil kejayaan projek ini juga telah menyumbang kepada Tabung Covid-19 pada 2019 dan sumbangan kepada Tabung Darul Iman berjumlah RM1.6 juta.

“Syarikat juga berupaya mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM609,000 bagi tahun 2017 hingga 2019,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!