KPDNHEP rampas alat ganti dan aksesori motosikal tiruan

Peter (kiri) menunjukkan alat ganti motosikal yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
Peter (kiri) menunjukkan alat ganti motosikal yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menyerbu sebuah premis yang menjual alat ganti dan aksesori motosikal tiruan di Taman Gemilang di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Peter J Berinus Agang berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Dalam operasi kira-kira jam 11.30 pagi itu, beliau berkata, pihaknya merampas 17,187 unit pelbagai alat ganti dan aksesori motosikal tiruan selain menyita 113 unit topi keledar yang gagal mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012.

"Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas premis tersebut, kita menemui pelbagai alat ganti motosikal disyaki tiruan; antaranya cermin sisi, pad brek, karburetor, klac dan banyak lagi.

“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM340,500. Kita telah mengambil keterangan dua lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik premis berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Peter (tengah) bersama anggota penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.
Peter (tengah) bersama anggota penguat kuasa KPDNHEP menunjukkan barang yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam hari ini.

Peter berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan alat ganti dan aksesori tiruan yang dirampas itu dijual dengan harga yang jauh lebih murah daripada produk asli.

Bagaimanapun, katanya, pengguna mungkin terdedah dengan risiko tersendiri kerana barangan berkenaan mungkin tidak berkualiti dan dijamin selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes alat ganti dan aksesori tiruan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Bagi kes topi keledar pula, tindakan diambil mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012 dan boleh diambil dikenakan hukuman di bawah Seksyen 59 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Peter sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama selain tanamkan budaya membeli barangan tulen di pasaran.