Pantai Tanjung Kuala Kemasik terhakis teruk

Keadaan bangsal pendaratan nelayan yang roboh sebahagiannya akibat hakisan pantai di Pantai Tanjung Kuala Kemasik.
Keadaan bangsal pendaratan nelayan yang roboh sebahagiannya akibat hakisan pantai di Pantai Tanjung Kuala Kemasik.
A
A
A

KEMAMAN - Hempasan ombak setinggi empat meter berikutan fenomena air pasang besar dan angin kencang sejak Selasa lalu mengakibatkan Pantai Tanjung Kuala Kemasik mengalami hakisan teruk sekali gus menjejaskan kira-kira 200 nelayan yang mendarat di kawasan itu.

Gara-gara dibadai ombak ganas itu, tebing pantai sejauh 200 meter di kawasan berkenaan runtuh menyebabkan bangsal pendaratan nelayan, kedai Koperasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik dan sebuah rumah turut rosak.

Tanah yang runtuh akibat hakisan menyebabkan bangunan kedai koperasi PNK Kemasik dan sebuah rumah turut rosak.
Tanah yang runtuh akibat hakisan menyebabkan bangunan kedai koperasi PNK Kemasik dan sebuah rumah turut rosak.

Nelayan, Rosli Sulong, 53, berkata, masalah hakisan di pantai itu sudah berlarutan sejak 20 tahun, namun kejadian kali ini adalah yang paling teruk.

“Ini hakisan paling teruk, ada dalam 100 meter kawasan daratan dah dimakan ombak. Pondok nelayan pun dah roboh sebahagiannya.

“Kalau dibiarkan begini, saya rasa dalam masa dua tiga tahun mungkin tak ada dah kawasan ini,” katanya.

Jengkaut digunakan untuk meletakkan benteng pasir di kawasan hakisan.
Jengkaut digunakan untuk meletakkan benteng pasir di kawasan hakisan.

Menurutnya, kawasan yang terhakis itu menjadi tempat pendaratan bot dan turut menjadi tempat meletakkan bot pada musim tiupan angin tenggara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika musim Monsun Timur Laut sekarang, nelayan akan meletakkan bot di muara sungai kerana om

“Bila hakisan macam ni, nelayan dah tak boleh letakkan bot di tepi pantai, jadi diharap kerajaan mempercepatkan pembinaan benteng pemecah ombak atau dipanggil ‘cove’ yang dirancang dibina di kawasan ini,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pekan Kemasik, Ahmad Yuzi Yusof berkata, fenomena air pasang besar itu berlaku kira-kira jam 9 malam Selasa lalu

dan berlarutan selama beberapa hari sebelum beransur reda, semalam.

"Ekoran keadaan ini, sebahagian nelayan di sini yang masih turun ke laut ketika musim tengkujuh terpaksa mendarat di Pantai Kuala Kerteh.

"Rumah yang rosak di kawasan ini pula adalah rumah seorang ibu tunggal dua anak dan kita dah pindahkan mereka ke Rumah Murah Kemasik," katanya.

Sementara itu, Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk, benteng pasir diletakkan di tebing pantai yang terhakis sebagai tindakan kecemasan sementara.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan struktur 'cove' untuk perlindungan dan pendaratan nelayan bernilai RM6 juta di tempat itu akan dijalankan dalam tempoh sebulan atau dua bulan dari sekarang.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maklumkan kepada saya bahawa kerja-kerja tender dah siap dan kalau tak ada masalah berkaitan tender dan kewangan, insya-ALLAH dalam masa sebulan dua lagi projek akan dimulakan dan ia dijangka siap dalam tempoh setahun setengah.

"Projek ini membabitkan penambakan pantai atau pembinaan 'cove' sejauh 300 meter bagi memecah ombak di laut supaya apabila siap nanti, nelayan boleh berlabuh dan meletakkan perahu (bot) dalam kawasan 'cove' itu," katanya yang turun meninjau pantai berkenaan.

Saiful Azmi (tiga, kanan) bersama pimpinan MPKK Pekan Kemasik dan nelayan meninjau kerja-kerja menambak hakisan.
Saiful Azmi (tiga, kanan) bersama pimpinan MPKK Pekan Kemasik dan nelayan meninjau kerja-kerja menambak hakisan.