X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Pengendali telekomunikasi komited laksana Jendela

Celcom Axiata Bhd antara pengendali telekomunikasi yang menyatakan komitmen penuh terhadap Jendela.
A
A

PENGENDALI telekomunikasi terdiri daripada Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan TIME dotCom Bhd menyatakan komitmen penuh terhadap Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Semua syarikat terbabit komited untuk bersama kerajaan menjadikan kesalinghubungan sebagai keperluan asas untuk memacu peralihan Malaysia ke arah masyarakat digital berpendapatan tinggi.

Jendela yang baru-baru ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi platform bagi mencapai aspirasi itu dengan mempercepatkan kesalinghubungan digital negara melalui penggunaan akses mudah alih, gentian dan tanpa wayar tetap yang meluas, di samping memberi laluan kepada teknologi 5G, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dari 2021 hingga 2025.

Enam syarikat terbabit dalam satu kenyataan bersama berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) mencetuskan keperluan yang mendesak untuk Malaysia menangani norma baharu dan menyediakan permintaan akan datang bagi perkhidmatan kesalinghubungan sebagai penggerak semua aspek kehidupan termasuk ekonomi dan sumber pendapatan masyarakat, pendidikan, peluang perniagaan, selain membina serta menghubungkan komuniti.

Menurut kenyataan itu, untuk bersedia pada masa depan dan memenuhi aspirasi Digital Malaysia, amat jelas bahawa industri perlu memacu semua pihak yang terbabit melalui penyediaan perkhidmatan kesalinghubungan berkualiti dan dipercayai.

“Industri percaya bahawa kolaborasi antara kesemua pihak amat penting untuk membantu pelaksanaan pembangunan infrastruktur dalam keadaan yang tersusun, dan memberi impak minimum kepada kerja-kerja awam, masyarakat, persekitaran dan kesemua aspek dalam ekosistem.

“Kami berbesar hati untuk berganding bahu dalam memenuhi objektif Jendela dan membolehkan kesalinghubungan yang berkualiti secara meluas untuk kesemua rakyat Malaysia,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!