Berita gembira untuk pantai timur?

A
A
A

KERAJAAN mengesahkan akan melakukan rundingan semula dengan China dan kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung kos dan jadual projek membabitkan jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah memaklumkan hal tersebut ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Ismail Ibrahim berhubung perancangan kerajaan bagi menjajarkan semula laluan asal bahagian ECRL sepertimana pelan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pentadbiran PH pada tahun lalu telah mengubah jajaran ECRL supaya tidak melalui Bentong dan Gombak yang bertujuan mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer yang melalui Ridge Quartz Klang Gates.

Sebaliknya, jajaran yang diusulkan kerajaan PH itu akan menuju ke selatan iaitu melalui Kuala Klawang (Negeri Sembilan) sebelum memasuki Selangor melalui Bangi dan Kajang seterusnya menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Untuk rekod, desas-desus penjajaran semula itu bermula pada Julai lalu – antaranya daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang pada 19 Julai menyatakan bahawa projek ECRL perlu diteruskan mengikut pelan perancangan asal kerana boleh membawa manfaat kepada rakyat dan keuntungan untuk jangka masa panjang, khususnya dalam meningkatkan penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan yang sudah mempunyai Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan ERCL yang dirancang di bawah kerajaan BN sebelum ini yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang secara terus dengan Selangor bakal memberi manfaat kepada rakyat di pantai timur Semenanjung. Antara hujah utama beliau adalah jajaran ECRL yang melalui Gombak akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.

Namun, kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan jajaran asal ECRL itu yang melalui kawasan Gombak dan Serendah di mana Exco Selangor, Ng Sze Han menegaskan jajaran asal berkenaan melalui kawasan tadahan air di Selangor.

Perubahan

Artikel Berkaitan:

Apa yang pasti, terdapat beberapa perubahan signifikan yang telah dimeterai di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini. Pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) pada 12 April 2019 menyaksikan harga projek berkenaan dikurangkan kepada RM44 bilion – kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Malah CCCC bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan yang telah dibayar oleh kerajaan BN dahulu.

Selain penjimatan berkenaan, penyertaan kontraktor tempatan turut ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus dan perkongsian risiko kini tidak lagi ditanggung kita 100 peratus, sebaliknya dikongsi 50-50 dengan CCCC.

Antara kompromi yang kerajaan PH sebelum ini serahkan kepada China ialah 50 peratus pemilikan pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL kepada CCCC, selain 20 peratus keuntungan yang mana sebelum ini kedua-dua perkara itu adalah 100 peratus milik kita.

Hal ini mengundang reaksi balas segelintir pihak termasuklah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau yang kini menghadapi berpuluh-puluh tuduhan di mahkamah mengkritik: “Cadangan pihak China terlibat dalam pengurusan ECRL tak wajar kerana ini adalah pengangkutan dalaman negara dan rakyat Malaysia ada kemampuan kendalikan seluruh sistem rel, sebab itu sebelum ini kita latih pekerja kita.”

Menurut Najib lagi, penyerahan 50 peratus pengurusan kepada China ‘berisiko menjejaskan keselamatan negara kerana maklumat berkenaan keselamatan negara akan diketahui pihak luar’.

Apa yang penting kita doakan semoga rundingan ECRL 3.0 di bawah kerajaan Perikatan Nasional akan menghasilkan pulangan yang lebih baik buat warga pantai timur dan kepentingan strategik kita.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda