AFC susun semula bajet pertandingan 2021

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sedang menyusun semula bajet bagi musim 2021 berikutan impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan jadual pertandingan badan induk itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan sebulat suara mengenai penyusunan semula belanjawan AFC diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kewangan AFC secara maya, semalam.

"Susulan impak Covid-19, kebanyakan perlawanan (tahun 2020) ditunda ke 2021, menjadikan simpanan kewangan bagi tahun 2020 meningkat. Mesyuarat memutuskan simpanan kewangan itu dibawa ke hadapan untuk tahun 2021.

"Bagi perlawanan seperti Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC, Jawatankuasa Kewangan AFC meluluskan penambahan bajet sejajar dengan persiapan dan penjadualan baharu bagi baki empat bulan tahun ini dan 2021, juga bajet Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita AFC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin, yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan subsidi yang akan diagihkan kepada 12 pasukan yang layak ke pusingan akhir Zon Asia Kelayakan Piala Dunia 2022.

"Mesyuarat juga mengemas kini prestasi kewangan dan peruntukan serta penyusunan semula bajet sepanjang tahun ini dalam berdepan impak Covid-19.

"Meskipun berdepan pandemik Covid-19, ia tidak menjejaskan peruntukan bajet bagi setiap perlawanan yang dijadualkan tahun ini meskipun ditunda ke Mac tahun depan," katanya.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC, Mariano V. Araneta Jr.- Bernama

Artikel Berkaitan: