X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pengarah syarikat ditahan berhubung projek bina jalan RM800 juta

Keadaan jalan yang rosak disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.
A
A

KUCHING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Menurut sumber, kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun itu merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga buah syarikat yang memonopoli projek berkaitan.

"Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak hari ini," katanya.

Sumber berkenaan memaklumkan projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak itu di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2010 hingga 2016.

"Banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

"Ada antara jalan-jalan ini tidak lagi dapat digunakan dan rosak setelah beberapa bulan dibina," katanya.

Menurutnya, kawasan-kawasan yang terlibat adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

"Hasil kajian teknikal mendapati jalan-jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jalan ini hanya diletakkan lapisan tar yang dianggarkan hanya setebal dua inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir sepertimana dalam syarat kontrak," katanya.

Sumber berkata, ia menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pedalaman.

"Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih serta menaik taraf jalan-jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

"Ia menyebabkan kos bagi membaik pulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit," katanya.

Selain itu, sumber menjelaskan bahawa perkara yang paling mengejutkan ialah mengenai pelantikan empat kontraktor baharu oleh JKR negeri.

"Salah satu syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan berkenaan disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat itu.

"Seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan suspek perlu disenaraihitam daripada memperoleh projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya," katanya.

Menurutnya, kedua-dua pengarah syarikat itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Siasatan kes ini dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan setelah laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!