Covid-19: Malaysia catat 100 kes baharu

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Angka kes harian positif koronavirus (Covid-19) terus melonjak kepada tiga digit apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 100 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 15 kes import dan 85 kes penularan dalam negara.

"Kementerian mengesan 62 kes penularan dalam negara melibatkan Kluster Benteng LD di Lahad Datu dan Tawau, Sabah," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Menurutnya, KKM turut mengesan 23 kes dalam kalangan Kluster Sungai yang melibatkan petugas kesihatan sebuah pusat perubatan swasta.

"Bagi kes import, ia dikesan mendapat jangkitan di India, Indonesia, Pakistan dan Filipina. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 9,559 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 295 kes," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi bertambah kepada tujuh kes.

"Ia termasuk empat yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes kematian pula kekal 128 kes iaitu bersamaan 1.34 peratus.

"Sebanyak 12 kes telah pulih dan dibenar discaj. Jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,136 kes," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, meskipun mencatatkan peningkatan ketara di dalam Kluster Benteng LD, namun kes jangkitan Covid-19 adalah terkawal.

"Ia berlaku di dalam Lokap IPD Lahad Datu dan Tawau bukan berada dalam masyarakat," kata beliau.

Sebelum ini, kes harian tertinggi direkodkan adalah 227 kes melibatkan Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang pada 4 Jun lalu.