X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Pavitra serah surat rasmi tarik balik dakwaan dipukul suami

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan telah menerima surat rasmi daripada S Pavithra (gambar kanan) untuk menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M Sugu (gambar kiri). - Foto Bernama
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan telah menerima surat rasmi daripada YouTuber masakan, S Pavithra untuk menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M Sugu.

Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman berkata, pihaknya telah menerima surat tersebut Jumaat lalu namun belum ada sebarang keputusan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri sama ada untuk meneruskan prosiding atau sebaliknya.

Sugu, 29, seorang bekas pekerja ladang, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, antara jam 4 hingga 6 petang, 21 Julai lalu.

Selain itu, Sugu turut didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter kira-kira jam 6 petang pada tempat dan tarikh sama.

Pada prosiding hari ini, Sugu diwakili peguam Jude Pereira dan Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir kemudiannya membenarkan tarikh sebutan semula kedua-dua kes pada 17 September ini.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pavithra diperintah hantar surat rasmi tarik balik tuduhan terhadap suami


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!