Isu air Selangor: Hanya 65 kawasan masih terjejas

Lokasi kawasan sudah pulih dan masih terjejas dengan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang hari ini.
Lokasi kawasan sudah pulih dan masih terjejas dengan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 65 daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lalu masih terjejas dan belum menerima bekalan setakat jam 12.30 hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhannya, sejumlah 1,227 kawasan atau 94.97 peratus kawasan terjejas sudah pulih sepenuhnya.

Menurutnya, semua kawasan-kawasan terlibat di daerah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya.

“Setakat jam 12.30 tengah hari ini, sebanyak 65 kawasan di daerah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur serta Klang dan Shah Alam masih lagi dalam proses pemulihan.

“Daerah Gombak mencapai tahap pulih 98.18 peratus diikuti Petaling (97.37 peratus), Kuala Lumpur (92.71 peratus) serta Klang dan Shah Alam (80.79 peratus),” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan mendapatkan maklumat rasmi melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan bekalan air bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh daerah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh daerah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.