Aidil Sharin akui dirisik Perak

Aidil Sharin mengesahkan Kedah menjadi keutamaan sekarang dan mahu terus fokus membantu pasukan pada musim ini. - Foto FB Aidil Sharin Sahak
Aidil Sharin mengesahkan Kedah menjadi keutamaan sekarang dan mahu terus fokus membantu pasukan pada musim ini. - Foto FB Aidil Sharin Sahak
A
A
A

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui dirisik oleh Perak yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan skuad tersebut pada musim depan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan keutamaannya sehingga kini adalah Kedah kerana masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini.

"Mereka (Perak) menyatakan minat secara lisan kepada saya sebagai calon ketua jurulatih bagi persiapan mereka pada musim hadapan.

"Namun, saya masih komited dengan tugas sekarang (di Kedah). Sebagai seorang profesional, apa yang terjadi saya akan memberikan segalanya untuk Kedah pada musim ini,"katanya menjawab dakwaan dirinya kini sedang diintai oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Aidil Sharin yang diikat oleh Lang Merah selama dua musim iaitu pada 2019 dan 2020 berkata, beliau akan melihat terlebih dahulu rundingan yang akan dikemukakan oleh PAFA.

"Sehingga kini Kedah masih lagi nombor satu buat saya dan mahu membawa pasukan ini untuk mara ke perlawanan akhir sekali lagi pada tahun ini,"katanya.

Tambah Aidil Sharin, selain Perak, terdapat dua lagi pasukan di Lembah Klang yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi persiapan musim 2021.

Ketua jurulatih kelahiran Singapura tersebut dibawa masuk pada tahun 2019 oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan kehadirannya memberikan impak apabila berjaya membantu Lang Merah muncul Juara Piala FA dan melayakkan pasukan bersaing di Kelayakan Piala AFC 2020.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, media melaporkan Aidil Shahrin disebut-sebut akan menggantikan Mehmet Durakovic bagi memberikan nafas dan suntikan baharu kepada The Boss Gaurus bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.