PH usul undi tidak percaya MB jika gugat Speaker DUN

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad pada sidang Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor, sekiranya terdapat cubaan menggantikan Speaker DUN, Suhaizan Kaiat.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan itu dilakukan jika Perikatan Nasional (PN) yang kini mentadbir kerajaan negeri cuba menggugat kedudukan Suhaizan pada sidang DUN Johor.

"PH Johor menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak mahu suasana tegang wujud dalam sidang DUN kali ini.

"Oleh itu, PH Johor tidak akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad walaupun terdapat khabar angin PH akan mengemukakannya pada sidang DUN kali ini.

"Namun situasi bergantung kepada pihak sana (PN), kalau mereka buat tindakan kepada Speaker, kita (PH) akan buat tindakan kepada Hasni. Jika dia mulakan, kita terpaksalah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Amanah Negara ( Amanah) di Kangkar Pulai hari ini.

Suhaizan yang merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor dilantik menjadi Speaker DUN Johor selepas PH menerajui kerajaan negeri menerusi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU 14) pada Jun 2018.

Ketika ditanya tentang desas- desus bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang akan menyertai blok pembangkang, Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, pihaknya belum menerima keputusan daripada Osman berhubung perkara berkenaan.

"Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas memang ada bertemu dengan pemimpin Amanah Pusat sebelum ini. Tapi dia (Osman) belum buat sebarang keputusan.

Artikel Berkaitan:

"Kita serahkan pada Osman menentukannya. PH Johor pun tiada usaha beria-ia mahu memancing ADUN PN kerana kami berpendapat, biarlah dia diputuskan sendiri dengan ADUN yang berminat itu," katanya.

Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata, keutamaan PH Johor kini adalah mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak mahu terlalu berpolitik.

Sidang DUN Johor selama dua hari dijadual pada Khamis dan Ahad depan, menjadi tumpuan kerana pelbagai desas- desus timbul termasuk kemungkinan kewujudan ADUN Bebas berikutan tindakan Datuk Osman Sapian pada PRK Slim baru- baru ini.

Kedudukan PN dan PH tipis di mana PN memiliki 29 kerusi manakala pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan kerusi bagi PN iaitu UMNO (14) Bersatu (12), MIC ( 2) dan Pas ( 1) manakala PH dimana DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4).

Seandainya terdapat seorang ADUN beralih arah kepada pembangkang, kedudukan DUN Johor akan tergantung dimana PN dan PH memiliki jumlah kerusi DUN yang sama iaitu 28- 28.