Sediakan lebih banyak lorong untuk aktiviti berbasikal

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan setuju dengan peringatan yang diberikan polis kepada penunggang basikal supaya menekankan aspek keselamatan dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, penunggang basikal terutama yang berkumpulan perlu mengelak melalui jalan yang sibuk serta memilih laluan sesuai supaya keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.

Merak Jalanan perhatikan ada segelintir kumpulan penunggang basikal yang melakukan aktiviti di laluan yang berbahaya seperti kawasan utama laluan jentera berat, kawasan lebuh raya dan lokasi kerap berlaku kemalangan.

Merak Jalanan pun sering terserempak dengan penunggang basikal yang sering berkayuh secara berkumpulan dan ada juga yang membawa anak kecil.

Seorang rakan Merak Jalanan pun ada yang telah menjadi mangsa apabila dilanggar oleh penunggang motosikal.

Akibat kemalangan itu, rakan Merak Jalanan cedera dan masih terkesan dengan insiden itu serta tidak mahu lagi menunggang basikal.

Rakan Merak Jalanan juga setuju penunggang basikal sepatutnya memilih laluan yang selamat kerana statistik kemalangan jalan raya yang sedia tinggi tidak seharusnya ditambah lagi dengan kes kemalangan melibatkan penunggang basikal.

Malah dalam usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan, pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan laluan khas untuk penunggang basikal seperti yang dilaksanakan di luar negara dan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Artikel Berkaitan:

Dengan menyediakan laluan khas kepada penunggang basikal, ia sedikit sebanyak dapat menggalakkan lagi orang ramai melakukan aktiviti tersebut dalam suasana yang selamat.