Ibu tunggal alami masalah kemurungan hilang

Anggota bomba, polis dan APM melancarkan operasi mencari Rosiah selepas dilaporkan hilang jam 7.41 pagi, hari ini. (Gambar kecil:Rosiah Mansor)
Anggota bomba, polis dan APM melancarkan operasi mencari Rosiah selepas dilaporkan hilang jam 7.41 pagi, hari ini. (Gambar kecil:Rosiah Mansor)
A
A
A

JASIN - Seorang ibu tunggal didapati hilang selepas kali terakhir dilihat berada di halaman rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Mangsa, Rosiah Mansor, 52, yang dikatakan mengidap penyakit sawan dan sering mengalami kemurungan itu disedari hilang oleh anak lelakinya, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32.

Menurut kakaknya, Sariah Mansor, 60, Engku Airil Azuan menyedari kehilangan Rosiah selepas melihat pintu rumah dalam keadaan terbuka dan wanita terbabit tiada di rumah.

“Anak lelakinya ada mengetuk pintu rumah masa balik kerja kira-kira jam 10 malam semalam tapi tak ada orang buka dan akhirnya selepas selesai berborak dengan kawan depan rumah, dia buat keputusan untuk tidur di rumah neneknya di sebelah rumah.

“Sebelah paginya selepas mandi, anaknya mahu membuka semula pintu masa itu baru tersedar pintu rumah sudah terbuka dan ibunya tiada,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini, hari ini.

Sariah berkata, kali terakhir mangsa dilihat dengan memakai baju T berwarna hijau dengan anak tudung, berkain batik dan berkasut bersarung.

“Kami keluarga risau sebab Rosiah tak makan ubat selepas 24 jam hilang. Sepatutnya dia perlu ambil tiga kali ubat dalam sehari sebab menghidap sawan sejak darjah 4 selain mengalami kemurungan selepas bercerai kira-kira 15 tahun lalu.

“Kami sekeluarga sudah puas mencarinya kawasan dekat-dekat sini sehari suntuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Selandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Melaka, Penguasa Bomba, Zulkhairani Ramli, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan Rosiah pada jam 7.41 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (Storm), Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bermula pada jam 8 pagi tadi.

“Operasi yang ditangguhkan pada jam 6 petang ini sebelum diteruskan semula esok ini melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Polis DiRaja Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kawasan pencarian hari ini membabitkan jarak sekitar 500 meter dari rumah termasuk kolam sedalam kira-kira 1.5 meter yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.