RCI TH: SPRM, PDRM, LHDN mula 'gempur' individu terlibat siasatan

Iklan
Laporan RCI yang merangkumi tempoh operasi 2014 hingga 2020 itu mendedahkan pelbagai 'titik hitam' dalam sejarah pengurusan TH. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Siasatan susulan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mula 'menggempur' individu yang dikenal pasti terlibat dalam kepincangan pengurusan institusi itu.

Setakat semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu bagi membantu siasatan berhubung pelbagai dakwaan salah laku yang didedahkan dalam laporan setebal 211 halaman itu, yang diterbitkan pada 29 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Mereka yang direman antara tiga hingga lima hari itu merangkumi pelbagai profil profesional, termasuk seorang bekas pengurus ladang, pengarah syarikat reka bentuk, timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah milik badan berkanun.

Selain tangkapan reman itu, Pasukan Khas SPRM turut menahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah badan berkanun pada 4 Ogos lepas bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa dalam transaksi pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Iklan

Bagaimanapun, kedua-dua suspek yang berusia 68 dan 60 tahun itu dibebaskan atas faktor kesihatan, namun CFO berkenaan telah selesai dirakam keterangan semalam, manakala CEO terbabit masih dalam tempoh cuti sakit.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan yang diterima daripada pengurusan TH, anak syarikatnya serta orang awam.

Iklan

Ketegasan yang sama turut dizahirkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang memulakan siasatan terhadap individu tertentu selepas mengesan ketidaksepadanan ketara antara pemilikan aset mewah dengan jumlah pendapatan yang dilaporkan.

LHDN memaklumkan analisis risiko percukaian mendapati wujud keraguan dalam perisytiharan pendapatan individu terbabit, sekali gus membawa kepada serbuan di beberapa premis bagi menyita dokumen serta mengesahkan fakta siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM

RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan

Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan

RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi

RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH

RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

Laporan RCI yang merangkumi tempoh operasi 2014 hingga 2020 itu mendedahkan pelbagai 'titik hitam' dalam sejarah pengurusan TH, termasuk kelemahan tadbir urus dan dakwaan campur tangan politik yang melampau dalam urusan agihan keuntungan serta operasi haji.

Dapatan paling mengejutkan dalam dokumen berkenaan mendedahkan TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, namun sebaliknya melaporkan keuntungan luar biasa sebanyak RM3.4 bilion dalam penyata kewangannya ketika itu.

Susulan penurunan nilai aset yang teruk, laporan itu mencadangkan audit forensik dijalankan terhadap beberapa keputusan pelaburan berisiko melibatkan entiti seperti PT TH Indo Plantations; Emrail Sdn Bhd; Wellspring Worldwide Limited; Abraj Sdn Bhd; Putrajaya Perdana Bhd; TH Plantations Bhd; TH Properties Sdn Bhd; Alam Maritim Resources/TH Marine; TH Hotel & Residences Sdn Bhd dan FGV Bhd yang mengakibatkan kerugian besar kepada dana pendeposit.

Selain itu, laporan berkenaan turut mencadangkan langkah drastik termasuk menarik balik bonus berjumlah RM2.19 juta yang diberikan kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH Properties kerana didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Pembayaran bonus kepada petugas TH antara dua hingga 13 bulan sepanjang 2010 hingga 2017 turut disifatkan sebagai amat tinggi dan tidak wajar, memandangkan kedudukan kewangan institusi yang mencabar pada tempoh berkenaan.

Segala dapatan dan syor penambahbaikan ini dijangka mencetuskan perdebatan hangat pada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan RCI itu.

Pada 5 Ogos lepas, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan sebanyak 35 hingga 40 ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk mengambil bahagian dalam sidang khas berkenaan. - Bernama