SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan keracunan makanan selepas pengguna mengambil produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot yang tular di media sosial.
KKM memaklumkan, siasatan awal tersebut sedang dijalankan selaras dengan peruntukan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Menurut kementerian, pihaknya memandang serius setiap aduan berkaitan keselamatan makanan dan telah mendapatkan penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berhubung perkara itu.
"Proses pengesanan produk terlibat masih terbatas kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap. Bagaimanapun, baki produk serta bungkusannya juga telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk tujuan analisis makmal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, KKM menegaskan bahawa dapatan syarikat berkenaan hanya berdasarkan siasatan dalaman dan belum boleh dijadikan asas kepada kesimpulan muktamad berhubung punca simptom yang dilaporkan.
Jelasnya, KKM masih menunggu keputusan analisis makmal selain akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang bagi mengesahkan tahap pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.
"Tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran atau risiko keselamatan makanan," menurut kementerian lagi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung isu berkenaan.
Individu yang mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki diminta segera mendapatkan rawatan perubatan serta melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.
Aduan berkaitan keselamatan makanan juga boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di https://moh.spab.gov.my/ atau Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.