KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dua kereta terlibat dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) , Desa Melawati di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.48 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dan Honda Civic.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Arif Nasarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dengan bantuan BBP Setapak ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati dua lelaki tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
"Seorang mangsa lelaki berusia 19 tahun yang menaiki Proton Wira mengalami kecederaan patah kaki kiri serta luka di bahagian tangan dan kepala.
"Seorang lagi mangsa lelaki berusia 43 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan Peralatan Kemalangan Jalan Raya (RTA) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.