SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk terus fokus terhadap keperluan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak beralih perhatian kepada isyarat persaraan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dalam satu kenyataan berkata, ia kerana reformasi lebih mustahak untuk dibuat memandangkan terdapat kelemahan berpanjangan dalam sistem SPRM meskipun Azam dilantik menerajui agensi itu sebanyak tiga kali.
Menurut kenyataan tersebut, tempoh perkhidmatan Azam sebagai 'individu nombor satu dalam SPRM' dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini, walaupun beliau telah melepasi umur persaraan wajib iaitu 60 tahun.
"Kritikan terhadap beliau tidak ditangani sewajarnya dan ia tak boleh diterima sama sekali. Justeru, pemecatannya amat penting, bahkan melanjutkan kontrak perkhidmatan Azam secara langsung bercanggah dengan prinsip serta kepentingan SPRM.
"Pentadbiran Anwar tidak patut salah tafsir tentang kemarahan rakyat berhubung pelantikan semula Azam Baki sebagai sesuatu yang terhad hanya kepada tempoh perkhidmatannya.
"Walaupun muka baharu dilantik memegang jawatan tersebut, kecacatan dalam sistem tetap wujud. Jadi, kerajaan mesti komited untuk melaksanakan reformasi struktur SPRM segera serta berunding dengan semua pihak berkepentingan," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Azam memberi bayangan bahawa tempoh perkhidmatannya bakal tamat pada tahun depan.
Beliau bagaimanapun menyedari bahawa kontraknya yang dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.
Azam turut menegaskan bahawa isu siapa yang bakal menggantikannya tidak penting, asalkan tugas memerangi rasuah diteruskan dengan tegas.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Rafizi menyatakan, langkah terbabit boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Bekas menteri ekonomi itu turut mendakwa, kontrak Azam sebelum ini disambung bukan sekali, bukan dua kali tetapi sebanyak empat kali.
Mengulas lanjut, C4 mencadangkan dua perkara untuk dipertimbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu pelantikan dan penamatan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti melalui temu duga calon secara terbuka dan proses pemilihan di Parlimen, contohnya jawatankuasa pilihan khas Parlimen.
Selain itu, katanya, memberikan mandat kepada Ombudsman Malaysia untuk menjalankan siasatan luaran terhadap SPRM berkaitan isu salah laku dan tatakelola tidak baik, walaupun agensi sudah mempunyai mekanisme pengawasan dalaman sedia ada.
"Isu ini jauh lebih besar daripada diri Azam sahaja. Maksudnya, bukan masalah individu tapi struktur dan ia tidak akan diselesaikan hanya dengan memilih pengganti baharu.
"Proses pemilihan dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak boleh dipusatkan di tangan satu orang sahaja. Ia mesti didemokrasikan dan dibuat dengan lebih telus melibatkan peranan Parlimen selain perkenal calon secara terbuka.
"Selain itu, bidang kuasa statutori Ombudsman Malaysia mesti diperluaskan merangkumi kes-kes pentadbiran yang tidak baik dalam SPRM dan badan penguatkuasaan lain juga," ujar C4 lagi.