Untung tak dapat, duit lebih RM300,000 pun lesap

Iklan
Peniaga rugi RM335,450 akibat tertipu dalam skim pelaburan saham palsu. Foto hiasan

KUANTAN - Keterujaan seorang peniaga untuk menikmati wang keuntungan lebih RM2.4 juta hasil pelaburan saham disertai terbantut apabila diarahkan membayar RM241,849 atau 10 peratus daripada jumlah keuntungan itu sebagai syarat pengeluaran.

Syarat dikenakan itu menimbulkan kecurigaan lelaki berusia 51 tahun itu sebelum menyedari dirinya tertipu apabila skim pelaburan saham tersebut tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM335,450.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa tertarik dengan iklan berkaitan pelaburan saham di Facebook selepas melayari platform media sosial itu pada 19 November tahun lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelaburan saham dengan pulangan keuntungan 12 peratus dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dengan modal permulaan sebanyak RM10,000.

Iklan

“Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan dalam talian melalui pautan yang diberikan suspek.

“Dalam tempoh 4 Disember 2025 hingga 27 Januari lalu, mangsa telah membuat 19 transaksi pemindahan wang sebagai modal pelaburan ke dalam dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM335,450 menggunakan wang simpanan sendiri dan wang pinjaman daripada rakan-rakan,” katanya.

Iklan

Yahaya berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah memperoleh keuntungan sehingga RM2,418,499.

“Namun malangnya, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya.