GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan dua notis larangan terhadap aktiviti pembekalan konkrit siap bancuh (readymix concrete) susulan kemalangan maut membabitkan seorang pekerja warga Indonesia di sebuah tapak pembinaan Hospital Pulau Pinang (HPP), pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.42 pagi, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia selepas lori simen yang dipandunya terjatuh dan terbalik ke dalam kawasan pembinaan bawah tanah (basement) ketika kerja pembekalan konkrit sedang dijalankan.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari kejadian dan siasatan awal mendapati wujud risiko keselamatan yang serius di lokasi berkenaan.
“Susulan kemalangan tersebut, JKKP telah mengeluarkan dua notis larangan terhadap aktiviti pembekalan konkrit siap bancuh oleh syarikat terlibat serta melarang penggunaan laluan keluar masuk ke kawasan loji pembancuhan konkrit sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, tindakan itu diambil bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan berulang selain memberi ruang kepada siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Hairozie berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan keselamatan.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan semua majikan, kontraktor serta pihak berkaitan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di tapak pembinaan bagi memastikan kebajikan dan nyawa pekerja sentiasa dilindungi.
Terdahulu, seorang lelaki maut selepas tersepit di bahagian pemandu apabila lori simen yang dipandunya terbalik ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan berhampiran HPP, Jalan Residensi, di sini.
Dalam kejadian itu, lori simen berkenaan dipercayai hilang keseimbangan sebelum terjatuh, menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.