Rempuh 5 kenderaan ketika dikejar polis, lelaki ditahan bersama dadah

Iklan
Tangkap layar video aksi polis bertindak mengejar dan menghalang suspek melarikan diri selepas terlibat kemalangan dengan beberapa kenderaan lain di Jalan Dato’ Wong Ah Jang pada Sabtu.

KUANTAN - Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas dikejar polis berakhir dengan kemalangan apabila kereta dipandunya merempuh lima kenderaan lain di Jalan Dato’ Wong Ah Jang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, suspek berusia 27 tahun sempat melarikan diri dari lokasi kemalangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian bersama 136 pil yaba dianggarkan seberat 15.18 gram dan syabu dengan anggaran berat 2.82 gram bernilai kira-kira RM2,300.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu atau penumpang kenderaan yang terlibat,” katanya.

Iklan

Ashari berkata, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika dalam perjalanan dari Jalan Gambut menghala ke pusat bandar Kuantan.

“Ketika cuba ditahan, suspek terus memecut kereta dan melarikan diri menuju ke arah Jalan Dato’ Wong Ah Jang sebelum merempuh beberapa kereta lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan awal ke atas suspek yang positif dadah jenis methamphetamine membawa kepada tangkapan serta rampasan berkaitan kes dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jelas beliau, tindakan yang diambil pihak polis adalah selaras dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini, sebaliknya memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Kejadian mencemaskan itu sebelum ini tular di Facebook dan Threads selepas videonya dikongsi pengguna platform media sosial berkenaan.

Berdasarkan salah satu video dipercayai rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang terlibat, kejadian berlaku ketika kenderaan terbabit berhenti dipercayai menunggu lampu isyarat di persimpangan berkenaan.

Kedengaran bunyi siren yang pada awalnya disangka ambulans mendorong pemandu bergerak ke tepi untuk memberi laluan.

Beberapa detik kemudian, kereta yang dipercayai dinaiki pasangan suami isteri itu dirempuh dari arah belakang hingga tersasar ke laluan pejalan kaki di kiri jalan.