SEPANG – [DIKEMAS KINI] Seramai 380,000 pengunjung terjejas akibat gangguan sistem pagar automatik (e-gate) bagi laluan keluar dan masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, gangguan teknikal pada sistem semakan pelawat MyIMMS yang diintegrasikan dengan badan penguat kuasa antarabangsa dikenal pasti sebagai punca kelewatan pemeriksaan imigresen sehingga menjejaskan kira-kira 380,000 pengunjung, khususnya warga asing.
“Kami amat kesal dengan apa yang berlaku. Semakan awal mendapati kelewatan ini berpunca daripada masalah teknikal pada sistem MyIMMS yang menyebabkan capaian data menjadi perlahan.
"Ia secara langsung menjejaskan proses semakan rekod pengunjung di pintu masuk negara dan memberi kesan terhadap kira-kira 380,000 individu yang melalui CIQ BSI," katanya dalam sidang akhbar di Balai Perlepasan, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Menurut beliau, punca kejadian itu setakat ini tidak menjurus kepada isu sabotaj.
“Apa yang kami lihat setakat ini, ia tidak melibatkan elemen sabotaj. Saya juga tidak mahu membuat sebarang andaian supaya tidak memburukkan keadaan.
“Operasi sistem e-gate di CIQ BSI, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA yang terjejas telah pulih secara berperingkat pada malam Sabtu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kawalan sempadan adalah tanggungjawab AKPS, namun aspek penyelenggaraan dan sistem masih di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Saya dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban sentiasa berhubung rapat dalam menyelesaikan isu ini secara segera di lapangan.
“Kerjasama antara kedua-dua agensi amat penting untuk memastikan sistem sempadan negara sentiasa beroperasi dengan lancar,” katanya.
Mohd Shuhaily turut menegaskan bahawa AKPS akan mempertingkatkan sistem dan koordinasi teknikal bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Kami akan bekerja keras dan sebaik mungkin untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” tegas beliau.
Terdahulu, media melaporkan gangguan sistem e-gate di pintu masuk utama negara sejak Khamis lalu telah menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa lokasi termasuk CIQ BSI, KSAB serta Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Gangguan tersebut berpunca daripada masalah integrasi data yang memperlahankan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS, sekali gus menjejaskan pelawat asing yang menggunakan kemudahan e-gate.