Gangguan sistem CIQ lebih 24 jam, sesak di sempadan

Onn Hafiz ketika melakukan lawatan mengejut ke CIQ BSI. - Foto Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz ketika melakukan lawatan mengejut ke CIQ BSI. - Foto Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU – Gangguan sistem di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang berlarutan lebih 24 jam telah menyebabkan kesesakan serius di pintu sempadan negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau telah melakukan lawatan mengejut ke lokasi tersebut pada petang Sabtu selepas menerima maklumat berkenaan kelewatan urusan keluar masuk akibat gangguan sistem tersebut.

“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, petang tadi saya telah melakukan lawatan mengejut ke CIQ BSI.

“Saya amat kecewa apabila dimaklumkan terdapat gangguan sistem yang berlarutan lebih 24 jam dan menjejaskan kelancaran urusan keluar masuk sehingga menyebabkan kesesakan,” katanya menerusi muat naik di Facebook pada Sabtu.

Gangguan sistem di CIQ, BSI yang berlarutan lebih 24 jam menyebabkan kesesakan di pintu sempadan.- Foto: Facebook Onn Hafiz
Gangguan sistem di CIQ, BSI yang berlarutan lebih 24 jam menyebabkan kesesakan di pintu sempadan.- Foto: Facebook Onn Hafiz

Menurut Onn Hafiz, perkara itu telah dibawa kepada perhatian pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi tindakan segera.

“Perkara ini telah saya panjangkan kepada pihak berkaitan di peringkat Persekutuan. Saya menggesa agar langkah segera diambil bagi memastikan isu ini tidak berulang lagi.

“Kita memerlukan sistem pengoperasian yang cekap, konsisten dan mampu berfungsi pada tahap maksimum setiap masa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, walaupun terdapat penambahbaikan dalam pengurusan kesesakan sebelum ini, keadaan masih belum memadai.

“Seperti yang pernah saya tegaskan sebelum ini, meskipun terdapat sedikit penambahbaikan, ia masih belum mencukupi. Pengoperasian di pintu sempadan negara masih belum mencapai tahap kecekapan yang kita harapkan.

“Kelemahan seperti ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah boleh menjejaskan imej negeri dan negara di mata dunia kerana ini adalah salah satu pintu masuk utama yang paling sibuk di rantau ini,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa gangguan integrasi data yang menjejaskan proses semakan silang sistem MyIMMS menjadi punca kepada kegagalan sistem pintu automatik (autogate) di beberapa pintu masuk utama negara sejak Jumaat.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan, sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini, mengakibatkan barisan panjang dan kesesakan di lokasi utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, CIQ BSI, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!