BANDAR BARU BANGI - Seorang penjual lembu didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan membunuh rakan wanitanya yang juga cikgu sekolah rendah, minggu lalu.
Datu Mohd Effendi Datu Mohd Salleh, 33, yang memakai baju T lengan panjang berwarna hijau, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang telah berkahwin itu didakwa membunuh Nurul Huda Maha Liddin, 44, di Persiaran Pekeliling, Seksyen 3 di sini, antara jam 11 malam 29 Januari lalu hingga jam 3.32 pagi keesokan hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri manakala tertuduh diwakili peguam, Aravind Raj dan Serena Paul.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 2 April depan untuk serahan laporan kimia dan forensik.