KUALA LUMPUR - Deretan premis makanan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras di sini dengan suasana seolah berada di Hong Kong digempur pada Khamis.
Op Selera dan Op Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 8 malam itu berdepan cabaran apabila segelintir warga asing bertindak cuba melarikan diri, namun cubaan itu digagalkan pasukan operasi.
Selain itu, tinjauan sepanjang operasi terbabit mendapati tiada papan tanda bertulisan bahasa Melayu dipamerkan di beberapa premis makanan.
Kawasan itu dipercayai menjadi tumpuan warga asing termasuk pelancong dari China.
Pemeriksaan mengejut turut dilaksanakan ke atas pengunjung dan pekerja premis terbabit, malah ada antara mereka mendakwa tidak membawa pasport kerana tertinggal di hotel.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi terbabit bertindak menahan seramai 152 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Katanya, operasi selama lebih dua jam itu merekodkan pemeriksaan seramai 890 individu terdiri daripada 458 warga asing dan 432 warga tempatan.
"Daripada jumlah itu, 152 warga asing terdiri daripada 82 lelaki dan 70 wanita berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
"Daripada jumlah itu, tangkapan tertinggi membabitkan warganegara Myanmar iaitu 94 orang, China (40), Indonesia (6), Bangladesh (2) dan 10 lagi lain-lain warganegara," katanya dalam sidang akbar selepas operasi di sini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman.
Tambah Lokman, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan selama seminggu selepas mendapat aduan daripada orang ramai mengenai kehadiran ramai warga asing.
Jelasnya, antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf.
"JIM memberi amaran kepada majikan agar tidak mengambil pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit sah," ujarnya.
Mengulas dakwaan kononnya terdapat warga asing tertentu yang ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang, Lokman menegaskan JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Tindakan kami jelas, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan imigresen akan ditahan dan diambil tindakan tanpa mengira kewarganegaraan,” katanya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, kira-kira 155,000 warga asing telah mendaftar di bawah Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini dan 138,000 orang daripadanya telah dihantar pulang ke negara asal secara sukarela.
"Warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi mengikuti program itu, diikuti warga Indonesia dan jumlah pendaftaran dijangka meningkat menjelang tarikh tutup pada April ini.
"Hasil daripada denda kompaun yang dikenakan melalui program ini telah menyumbang lebih RM77 juta kepada negara," katanya.