KPDN sita telefon bimbit tiruan lebih RM150,000

Iklan
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor (tengah) menunjukkan sebahagian 529 telefon bimbit tiruan menggunakan jenama terkenal dari China yang disita dalam serbuan pada Khamis.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 529 unit telefon bimbit disyaki tiruan bernilai RM150,788 dalam serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi dijalankan sekitar jam 11.50 pagi hasil aduan serta maklumat daripada wakil pemilik cap dagang berhubung penjualan telefon bimbit berjenama terkenal dari China yang disyaki tiruan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua telefon bimbit terbabit disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah.

"Pengesahan awal oleh wakil syarikat cap dagang mendapati premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar bagi tujuan perdagangan.

Iklan

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pemeriksaan mendapati semua telefon bimbit terbabit disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah.

Iklan

Kamalludin berkata, kesemua barangan serta dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, jika sabit kesalahan, syarikat terlibat boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barang dan RM30,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya, manakala individu pula boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, bagi kesalahan kedua atau seterusnya, individu boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, KPDN memandang serius usaha melindungi hak pengguna dan pemilik cap dagang melalui pemantauan serta risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.

"Langkah ini juga penting bagi membanteras penjualan barangan tiruan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing khususnya di Perak," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui aplikasi WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.