Rasuah tender pusat data: Dua lagi syarikat dikenal pasti sogok pengurus projek

Iklan
Menurut sumber, beberapa individu bergelar pengarah syarikat juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

PUTRAJAYA – Dua lagi syarikat disyaki terlibat memberi sogokan kepada seorang pengurus projek yang kini sedang disiasat berhubung kes perolehan tender pembinaan pusat data di Johor bernilai RM180 juta.

Menurut sumber, beberapa individu bergelar pengarah syarikat juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati suspek utama mengaku meminta tiga peratus daripada nilai projek daripada mana-mana syarikat yang berminat mendapatkan tender pembinaan pusat data berkenaan," katanya pada Ahad.

Difahamkan, pengurus projek terbabit juga telah membocorkan harga tender sebagai imbuhan bagi memastikan syarikat yang membayar suapan berjaya memperoleh projek terbabit.

Iklan

“Bayaran rasuah dilakukan secara berperingkat mengikut kemajuan pembayaran projek. Masih terdapat beberapa juta ringgit lagi yang belum dijelaskan oleh syarikat-syarikat terlibat kepada suspek, seperti yang dipersetujui dalam perjanjian,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan suspek bertindak membakar hampir RM1 juta wang tunai ketika serbuan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Ways pada Khamis lalu.

Iklan

Serbuan itu turut menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM7.5 juta yang disorok dalam beberapa kotak bantal.

Turut ditemui ialah tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier, beberapa bentuk cincin serta syiling emas.

Pada Jumaat, pengurus projek terbabit bersama isterinya dan dua pengarah syarikat lain ditahan bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dalam projek pembinaan pusat data berkenaan.