Duda anak satu didakwa bakar kereta, curah petrol cuba bunuh bekas kekasih

Iklan
Parthiban (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kajang atas dua pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dan membakar kereta mangsa, minggu lalu.

KAJANG – Seorang pegawai makmal perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dan membakar kereta mangsa minggu lalu.

S Parthiban, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Khainur Aleeza Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, duda anak satu itu didakwa mencurahkan petrol ke badan bekas teman wanitanya yang berusia 43 tahun dengan mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang, di sini pada jam 3.20 petang 30 Januari lalu.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat iaitu membakar kenderaan milik wanita itu menggunakan petrol di lokasi, tarikh dan masa sama.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin mencadangkan, tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kes cubaan membunuh termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah berhasrat mahu memberikan jaminan, beliau memohon kadar itu ditetapkan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu diberikan jaminan pada kadar rendah kerana perlu menanggung anak berusia sembilan tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Khainur Aleeza membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes.

Pada Rabu, media melaporkan pihak polis menahan seorang lelaki susulan kejadian amuk yang berlaku Jumaat lalu, membabitkan bekas teman wanitanya serta ibu mangsa yang berusia 80 tahun.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik mangsa terbakar selain mangsa melecur di beberapa bahagian badan.