Kes fitnah kaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anak Rafizi diklasifikasikan NFA

Iklan
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan kes fitnah mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis bersabit Dang Wangi Repot 23401/2025 bertarikh 18 Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

"PDRM membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada AGC pada 23 Disember 2025 dan pihak AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Iklan

Tambah Saifuddin, keputusan dibuat berdasarkan dapatan laporan analisis profil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang gagal mengenal pasti pemilik akaun berkenaan serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun Facebook yang disiasat.

Saifuddin menjawab soalan Rafizi yang menuntut penjelasan mengenai status siasatan PDRM dan MCMC terhadap satu laporan dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Ismail Sabri pada 18 Ogos 2025 berhubung fitnah yang disiarkan di laman Facebook mengaitkan ahli Parlimen Bera itu dengan serangan terhadap anak bekas menteri ekonomi tersebut.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos tahun lalu, anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan melibatkan suntikan bahan cecair ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Puchong.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian.

Beberapa hari kemudian, Setiausaha Akhbar kepada Ismail Sabri membuat laporan polis dan MCMC terhadap satu laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan itu.

Rafizi turut menafikan dakwaan mengaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anaknya.

Pada 30 Januari lepas, ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan, beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.

Rafizi dilaporkan berkata, pihaknya masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan, namun ia sudah melalui tempoh panjang sejak Ogos tahun lalu.