Tiga lelaki termasuk warga Myanmar direman bantu siasatan kematian ibu tunggal

Iklan
Ketiga-tiga suspek tiba dalam keadaan kaki dan tangan bergari untuk perintah reman di Kompleks Mahkamah Butterworth.

BUTTERWORTH - Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman tujuh hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini pada malam Rabu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Majistret 2 di sini pada tengah hari Khamis.

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Butterworth pada jam 11.35 pagi dengan memakai baju lokap dalam keadaan tangan dan kaki bergari sambil diiringi anggota polis.

Difahamkan, warga asing tersebut baru ditahan pada jam 1 pagi, Khamis manakala dua suspek ditahan kurang daripada tiga jam selepas kejadian.

Iklan

Pada Rabu, seorang ibu tunggal ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini.

Mangsa berusia 41 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Iklan

Difahamkan, pihak polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang selepas jiran mendapati mangsa yang juga seorang ibu tunggal tidak memberikan sebarang respons walaupun pintu rumahnya terbuka, namun pagar jeriji didapati berkunci.

Mangsa dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh, termasuk mengenal pasti motif kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan terdapat kesan kelar pada leher mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesan kelar tersebut dipercayai menggunakan senjata tajam pada bahagian leher.

Tambahnya, tiada kesan pergelutan menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya.

Mangsa juga dipercayai diserang dari arah belakang namun bedah siasat telah dijalankan malam Rabu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.