SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kebocoran dan kebakaran paip gas Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong strukturnya.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat berkata, siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur paip berlaku apabila bahagian bawah paip tidak disokong sepenuhnya oleh tanah.
Menurutnya, kegagalan itu menyebabkan paip mengalami tekanan berulang hingga mencetuskan garis keletihan dan akhirnya pecah, sebelum gas yang terlepas terbakar dalam insiden jam 8.08 pagi itu.
"Keadaan tanah yang lembut dan lembap menyebabkan paip bergerak secara berulang, sekali gus menghasilkan tekanan berulang dan garis keletihan pada permukaan logam paip," katanya pada sidang media khas di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK di sini pada Isnin.
Husdin memberitahu, hasil analisis metalografi turut mengesahkan kegagalan itu berpunca daripada tensile overload yang berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile dan mencetuskan kebakaran.
Husdin berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Proses siasatan melibatkan pemeriksaan visual di lokasi kejadian, semakan ke atas komponen paip, pengukuran struktur dan analisis makmal terhadap sampel yang diambil.
"Kami dapati paip berkenaan memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun kelemahan sokongan tanah menjadi punca utama insiden," tambah beliau.
Katanya, siasatan turut mendapati lokasi kegagalan bukan disebabkan sebarang aktiviti di permukaan tanah, sebaliknya masalah geoteknikal yang tersembunyi di bawah tanah.
"Insiden berkenaan bukan saja menjejaskan keselamatan awam dan merosakkan infrastruktur, malah mengakibatkan gangguan bekalan gas serta elektrik di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya," kata beliau.