Wanita dikerat: Polis giat kesan dua lagi anggota tubuh mangsa

Iklan
Jauteh berkata, pihaknya sedang giat mencari dua lagi anggota badan yang didakwa masih belum ditemui oleh anaknya.

KOTA KINABALU - Dua suspek kes bunuh dan kerat seorang wanita sebelum sebahagian anggota badannya ditemui di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, telah direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perintah remah telah dimohon untuk pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Iklan
Iklan

"Reman selama tujuh hari bermula semalam," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, selain siasatan dibuat, pihaknya sedang giat mencari dua lagi anggota badan yang didakwa masih belum ditemui oleh anaknya.

Iklan

"Anggota badan tersebut masih dalam pencarian," katanya.

Sebelum itu, seorang lelaki mendakwa anak kepada wanita mangsa bunuh tersebut memaklumkan bahawa jenazah ibunya telah selamat dikebumikan namun dalam keadaan tidak sempurna.

Iklan

Dalam siaran langsung di TikTok, beliau memaklumkan masih terdapat bahagian yang masih belum dijumpai ketika pengebumian dijalankan iaitu kaki kiri dan tangan kanan.

Dalam kejadian pagi Khamis lalu, mayat seorang wanita berusia 44 tahun yang dikerat ke beberapa bahagian ditemui oleh pekerja lori sampah yang melakukan kerja pembersihan sekitar kira-kira jam 7 pagi.

Susulan penemuan mayat tersebut, dua suspek berjaya ditahan dan polis memaklumkan bahawa suspek utama berusia 71 tahun merupakan tunang mangsa.

Kejadian tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan