Terpisah 18 tahun, wanita Malaysia terkandas di Lombok kembali ke pangkuan keluarga

Iklan
Norida (kanan) berpelukan dengan ahli keluarga selepas selamat tiba di tanah air. Foto: Facebook Shamsul Anuar Nasarah

SHAH ALAM – Seorang wanita warga Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia sejak sekian lama dan terpisah selama 18 tahun dari keluarga akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, wanita itu, Norida Akmal Ayob, 45, sebelum ini mengikuti suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka dan menetap di sana.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, perkahwinan Norida tidak kekal dan akhirnya beliau hidup sendirian, susah dan daif.

"Dia mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain," kongsi beliau menerusi satu hantaran Facebook pada Ahad.

Iklan

Shamsul Anuar Nasarah (kanan) turut menunggu kepulangan Norida yang selamat tiba di Malaysia. Foto: Facebook Shamsul Anuar Nasarah

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, Norida dan dua anaknya berjaya dibawa pulang hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia terutama pihak imigresen.

Iklan

Katanya, Norida mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warga Malaysia, manakala Muhamad Sabani Daniel pula warga Indonesia kerana dilahirkan di negara tersebut.

Beliau mengetahui kisah wanita itu mahu kembali ke Malaysia selepas keluarganya di Kampung Bukit Sapi Lenggong datang menemuinya dan memaklumkan keadaan Norida.

"Saya dimaklumkan Norida berada dalam keadaan serba kekurangan, anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar," ujarnya lagi.

Shamsul Anuar berkata, beliau kemudiannya memulakan urusan dengan meminta kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaaan Besar Malaysia di Jakarta Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Saya telah menghantar Pegawai saya yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok Indonesia bersama Setiausaha Sulit saya ke Lombok bagi urusan membawa pulang.

"Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air," tambah beliau.