Jawatankuasa Khas ditubuh siasat punca kebakaran Putra Heights - Amirudin

Amirudin pada sidang akhbar khas di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK di Shah Alam pada Isnin.
Amirudin pada sidang akhbar khas di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi mencadangkan langkah susulan terhadap insiden kebakaran di Putra Heights Subang Jaya, selepas laporan siasatan rasmi insiden itu dibentangkan pada Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu bakal dianggotai pelbagai agensi termasuk wakil kerajaan negeri, Persekutuan dan badan berkaitan seperti Petronas bagi meneliti hasil siasatan dan merangka cadangan undang-undang dan langkah pencegahan jangka panjang.

Menurut beliau, langkah itu penting supaya dapat mengenal pasti kelemahan, memperbaiki sistem sedia ada dan mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

"Siasatan dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu diketuai Ketua Polis Selangor bagi menyiasat elemen kecuaian atau perbuatan jenayah.

"Satu lagi siasatan oleh Pasukan Petronas bersama agensi teknikal lain bagi menyiasat punca dari sudut teknikal,” katanya pada sidang media khas di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK di sini pada Isnin.

Amirudin menjelaskan, siasatan insiden yang berlaku pada 1 April lalu telah dijalankan secara menyeluruh selama hampir tiga bulan, melibatkan lebih 35 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas.

Beliau berkata, tiga aspek utama dikenal pasti dalam siasatan teknikal membabitkan keutuhan dan kemampuan saluran paip gas Petronas, keadaan tanah dan struktur kawasan sekitar dan kegiatan luaran atau aktiviti manusia yang mungkin menyumbang kepada kejadian letupan.

"Siasatan selesai sepenuhnya pada 26 Jun lalu dan kita kini memasuki fasa tindakan susulan yang lebih penting, selain langkah pencegahan dan pemulihan jangka panjang," tambah beliau.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri akan meneliti semua cadangan daripada jawatankuasa khas itu termasuk aspek perundangan bagi membentuk satu pelan tindakan komprehensif agar insiden seumpama tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

"Hampir semua aspek bantuan dan pemulihan kepada mangsa telah dilaksanakan dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, persekutuan dan agensi berkaitan," jelas beliau.

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!