KUALA LANGAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun rentung, manakala seorang lelaki cedera selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas rumah berkenaan.
"Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 pagi.
"Seramai 18 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan BBP Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A dengan kemusnahan 84 peratus.
"Terdapat dua mangsa terperangkap dan kerja pencarian dijalankan sebelum menemukan mayat seorang kanak-kanak rentung di bilik tingkat atas.
"Seorang lelaki berusia 30-an yang cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian rumah itu dihuni seramai 10 individu dan sembilan daripada mereka dilaporkan selamat.
“Kebakaran rumah itu berjaya dikawal dan padam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi. Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.