Bukti sudah lengkap, JAS tunggu izin dakwa syarikat kuari

Iklan
Rosli Zul (kiri) bersama Mohd Akmal pada sidang akhbar Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak pada Selasa.

IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sudah mengumpulkan semua bukti bagi mengukuhkan proses pendakwaan ke atas syarikat kontraktor yang terlibat dalam isu pencemaran alur air di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang, pada Januari lalu.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, kesemua bukti berkenaan akan diangkat ke pihak pendakwa raya untuk ulasan sebelum proses pendakwaan dilakukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini enam kertas siasatan telah dibawa kepada Penasihat Undang-undang bersabit enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sepertimana yang telah dikesan sebelum ini.

"Penguatkuasaan masih berjalan dan di peringkat jabatan, kita sudahpun selesai kumpul semua bukti bagi mengukuhkan lagi pendakwaan. Hanya menunggu izin daripada pendakwa raya bagi proses pendakwaan.

Iklan

"Setakat ini, syarikat yang terlibat masih lagi berstatus henti kerja dan mereka hanya menumpu kepada kerja-kerja pemulihan di tapak sahaja. Langkah ini bagi memastikan syarikat tidak lagi melanggar syarat-syarat yang telah diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak di sini pada Selasa.

Iklan

Program berkenaan dirasmikan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin.

Rosli berkata, proses penambahbaikan dan pemulihan di kawasan alur air itu sudah mencapai 70 peratus membabitkan kerja-kerja kawalan dan mitigasi.

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja itu dipantau rapi oleh JAS dengan pemeriksaan setiap dua minggu sekali.

Sebahagian peserta yang mengikuti Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seminar Pematuhan Syarat EIA sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak pada Selasa.

"Kalau dilihat isu kerosakan ini bermula dari tapak dan membawa ke badan air, daripada gerak kerja dibuat, kita dapati usaha pemuliharaan di badan air sudahpun diselesaikan.

"Hanya tinggal 30 peratus sahaja di bahagian tapak kerana ia merupakan kawasan terbuka jadi proses baik pulihnya akan mengambil sedikit masa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat kuari akan didakwa

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JAS kini sedang menyiasat kejadian pembuangan sisa klinikal di sebuah kawasan Perindustrian Pengkalan, Lahat Ahad lepas.

Katanya, kejadian itu dilaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak selepas berlakunya kebakaran sampah di kawasan berkenaan.

"Pembuangan sisa klinikal ini diurus oleh syarikat konsensi yang dilantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jadi kita akan dapatkan keterangan daripada pihak konsensi terlibat.

"Daripada siasatan awal, kita dapati sisa ini dibuang di tempat yang tidak dibenarkan," katanya.

Pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan keindahan dan alam semula jadi di kawasan alur air Tanjung Batu musnah dipercayai akibat pembangunan aktiviti kuari.

Kawasan itu sebelumnya menghijau dengan air jernih telah berubah apabila dipenuhi timbunan pokok dan kayu serta selut kesan penggondolan hutan bagi tujuan projek kuari.