Kuman tibi berisiko 'kebal' jika pesakit terputus ubat - Medical Mythbusters Malaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai penularan penyakit tibi pada Selasa.

SHAH ALAM – Pemberian insentif rawatan penyakit tibi sebanyak RM800 kepada setiap seorang pesakit yang dilakukan kerajaan Selangor dilihat wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain memandangkan kuman tibi berisiko menjadi ‘kebal’ jika pesakit terputus bekalan ubat akibat kekangan kewangan.

Penasihat merangkap Pengasas Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, kepatuhan rawatan yang tinggi termasuk pengambilan ubat-ubatan akan dapat membendung kemunculan tibi tahan pelbagai ubat atau multi-drug resistant TB (MDR-TB).

Iklan
Iklan

“Kos merawat satu kes tibi biasa adalah jauh lebih murah berbanding kos merawat MDR-TB yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap individu.

“Jadi langkah pemberian insentif rawatan seperti yang dilakukan di Selangor merupakan satu tindakan yang sangat wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain. Ini kerana rawatan tibi juga memerlukan tempoh komitmen yang panjang, sekurang-kurangnya enam bulan dan golongan berpendapatan rendah atau B40 sering berhadapan risiko kehilangan punca pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Laporan Sinar Harian mengenai penularan penyakit tibi pada Selasa.

Pada Selasa, muka depan Sinar Harian melaporkan sebanyak 503 kes baharu tibi direkodkan ketika jutaan rakyat mula bergerak sempena Tahun Baharu Cina sepanjang cuti sekolah serta persiapan Ramadan minggu ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan pakar terhadap penularan penyakit itu dalam suasana perhimpunan ramai.

Iklan

Penyakit berjangkit melalui udara yang bergerak secara senyap tersebut boleh membawa risiko kematian sehingga 50 peratus jika tidak dirawat dan memerlukan rawatan yang memeritkan sekurang-kurangnya enam bulan.

Justeru pakar menyarankan orang ramai digesa kembali memakai pelitup muka seperti diamalkan ketika pandemik Covid-19 terutama di tempat sesak dan sepanjang perjalanan.

Kerajaan Selangor pula pada 9 Februari lalu dilapor meneruskan pemberian insentif rawatan tibi sebanyak RM800 bagi tahun ini sebagai usaha berterusan membanteras penularan penyakit berjangkit berkenaan dalam kalangan rakyat negeri terbabit.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pesakit, khususnya daripada golongan B40 dapat meneruskan rawatan secara konsisten sehingga sembuh sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Firdaus menegaskan, insentif tersebut bertindak sebagai pemudah cara bagi menampung kos pengangkutan dan sara hidup, sekali gus mencegah keciciran rawatan.

Menurutnya, pemberian insentif kewangan tidak seharusnya dilihat sebagai bantuan kebajikan semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu pelaburan strategik kesihatan awam.

“Dengan memastikan pesakit patuh kepada aturan rawatan sehingga sembuh, kita bukan sahaja menyelamatkan nyawa individu tersebut, malah kita melindungi seluruh komuniti daripada ancaman jangkitan yang lebih teruk,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, bagi menjamin kelestarian impak dalam jangka masa panjang, bantuan kewangan harus disulami dengan langkah yang lebih holistik.

“Kerajaan pusat dan negeri disarankan untuk mengintegrasikan pendekatan saringan komuniti aktif. Unit saringan sedia ada perlu diperkasakan melalui penggunaan unit X-ray bergerak dan ujian saringan tibi di lapangan. Ini membolehkan pengesanan awal dilakukan di kawasan ‘hotspot’ atau penempatan padat sebelum rantaian jangkitan meluas.

“Selain itu, buat pemerkasaan teknologi digital. Penggunaan kaedah ‘Video Observed Therapy’ (VOT) membolehkan petugas kesihatan memantau kepatuhan pengambilan ubat secara dalam talian. Pendekatan ini bukan sahaja moden, malah mengurangkan beban logistik pesakit untuk hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan setiap hari,” kata beliau.